Anifah rayu keputusan mahkamah batal keputusan Parlimen Kimanis


Jason Santos

Keputusan SPR tidak merayu mengecewakan kerana keputusan mahkamah dibuat kerana kesilapan agensi itu, kata peguam Anifah Aman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2019.

ANIFAH Aman sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangannya di kerusi Parlimen Kimanis pada pilihan raya umum lepas dan mengarahkan ia dikosongkan.

Peguam bekas menteri luar itu, Ansari Abdullah berkata pemfailan itu dilakukan menerusi sistem e-filing dalam talian mahkamah awal hari ini.

Menurut Ansari lagi, tidak adil buat anak guamnya terpaksa berbuat demikian kerana mereka menjangka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuat rayuan kerana penghakiman mahkamah itu tidak memihak kepada agensi itu.

“Memandangkan pengerusi SPR sudah mengesahkan mereka tidak akan merayu, anak guam kami tidak ada pilihan selain mengarahkan kami untuk membuat rayuan,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.

Pada 16 Ogos lepas, mahkamah memutuskan untuk membebaskan Anifah daripada pertuduhan rasuah dan salah laku terhadapnya berkaitan pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, mahkamah membatalkan keputusan selepas mendapati 384 kertas undi di Kampung Brunei dan 54 di SJK Cheng Meng tidak diuruskan dengan baik.

Calon Warisan untuk kerusi Kimanis, Karim Bujang memfailkan petisyen tahun lepas untuk mencabar keputusan itu, menamakan Anifah dan SPR sebagai defendan.

Seorang lagi peguam Anifah, Tengku Fuad Ahmad berkata SPR mengecewakan pengundi kawasan itu apabila tidak merayu kerana keputusan mahkamah dibuat kerana kesalahan agensi itu.

“Sangat mengejutkan yang SPR tidak memihak kepada pegawainya sendiri. SPR sepatutnya merayu kerana berdasarkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya, pegawai pengurus pilihan raya dan pegawai lain kini terdedah kepada potensi liabiliti jenayah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Dalam aspek ini, SPR mengecewakan orangnya sendiri,” katanya.

Anifah menang majoriti tipis 156 undi, meraih 11,942 undi berbanding Karim yang mendapat 11,786 undi. – 27 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen