PENDUDUK Hong Kong yang mahu datang ke Malaysia menerusi program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dialu-alukan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya Isham Ishak.
Isham bagaimanapun berkata, tapisan ketat akan dilakukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengelakkan mereka cuba mengambil kesempatan daripada program berkenaan.
“Sehingga hari ini, saya tidak boleh katakan berlaku pertambahan mendadak, saya belum melihat rekodnya lagi, tetapi kita alu-alukan jika terdapat penyertaan baru daripada Hong Kong untuk datang ke Malaysia.
“Mereka amat dialu-alukan, tetapi mereka mestilah yang betul, maksud saya mereka tidak melarikan diri daripada sesuatu, sudah pasti kita akan laksanakan semakan latar belakang terlebih dahulu bagi memastikan mereka bukan pengganas yang menggunakan peluang ini untuk memasuki Malaysia,” kata Isham.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Persidangan Pelancongan Dunia kali ke-5 di Kuala Lumpur, hari ini.
Isham berkata, program berkenaan juga menerima sambutan menggalakkan daripada warga negara lain, terutamanya dari China, Eropah, United Kingdom, New Zealand, Australia, dan Korea.
The Malaysian Insight hari ini melaporkan, penduduk Hong Kong mengintai peluang untuk tinggal di Malaysia melalui MM2H sehingga krisis politik yang menyaksikan protes berterusan di tanah air mereka berakhir.
Menurut Presiden Persatuan Ejen Program MM2H Lim Kok Sai, pertanyaan daripada penduduk Hong Kong meningkat secara mendadak sebanyak 40% sejak bulan lepas.
Ia dipercayai berikutan situasi tidak stabil akibat tunjuk perasaan besar-besaran ekoran bantahan terhadap rang undang-undang yang membenarkan warga Hong Kong diekstradisi ke tanah besar China.
Menurut Lim, permohonan daripada penduduk Hong Kong juga meningkat daripada 30% kepada 40% sejak lebih sebulan lalu. – 26 Ogos, 2019.
Komen