PENDUDUK Hong Kong mengintai peluang untuk tinggal di Malaysia sehingga krisis politik yang menyaksikan protes berterusan di tanah air mereka berakhir.
Pertanyaan mengenai program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dari penduduk Hong Kong meningkat secara mendadak sebanyak 40% sejak bulan lepas, kata ejen hartanah yang membantu pemindahan warga asing ke negara ini.
Tunjuk perasaan besar-besaran itu berpunca daripada bantahan terhadap rang undang-undang yang membenarkan warga Hong Kong diekstradisi ke tanah besar China.
Presiden Persatuan Ejen Program MM2H Lim Kok Sai berkata kepada The Malaysian Insight bahawa permohonan daripada penduduk Hong Kong meningkat daripada 30% kepada 40% sejak lebih sebulan lalu.
Namun sebelum itu, kedudukan Malaysia, makanan, budaya dan undang-undang sudah menarik minat sejumlah penduduk Hong Kong untuk memohon program MM2H.
“Kini disebabkan huru-hara yang dicetuskan gerakan anti-China, lebih ramai yang mahu berhijrah buat sementara,” kata Lim sambil menambah bahawa ramai pemaju kini ke Hong Kong untuk mempromosikan projek mereka atau MM2H.
“Selagi rakyat Hong Kong membeli hartanah di Malaysia, pemaju akan memohon pembelian itu di bawah program MM2H.”

Vincent Kwok antara rakyat Hong Kong yang mahu berhijrah buat sementara di bawah program MM2H.
Beliau berkata iklan program MM2H turut menarik ramai lagi penduduk Hong Kong.
“Saya fikir gerakan anti-China ini akan menyebabkan lebih ramai rakyat Hong Kong meninggalkan bandar itu,” katanya.
Beliau berkata ramai penduduk Hong Kong berfikir untuk berhijrah buat sementara bagi mengelakkan tekanan di wilayah itu yang padat dengan penduduk selain kos hartanah mahal dan persekitaran hidup yang teruk.
Katanya keadaan kehidupan yang lebih baik dapat dinikmati di negara Asia Tenggara yang lain seperti Thailand, Malaysia dan Vietnam.
Kwok secara peribadinya mempunyai pandangan yang baik terhadap Malaysia selepas datang bercuti ke sini beberapa tahun dulu.
“Malaysia merupakan negara bertamadun yang mempunyai pilihan pengangkutan yang meyakinkan. Makanan di sini juga hampir sama seperti di Hong Kong dan tiada masalah untuk bahasa.
“Jadi apabila melihat iklan MM2H, saya mahu mengetahui lebih lanjut,” katanya. – 26 Ogos, 2019.
Komen