KERAJAAN perlu membentuk kementerian khas untuk menyelia hal ehwal seni supaya program dan pemberian peruntukan dana untuk kegiatan seni boleh diselaraskan, kata aktivis seni.
Kartunis kontroversi, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar berkata penggiat seni sukar mendapatkan dana kerana agihan peruntukan berada di kementerian yang berlainan.
“Dana setakat ini dilihat serpihan dan baki. Dalam bajet tidak ada peruntukan untuk mengembangkan seni. Kesenian perlu duduk di bawah satu bumbung.
“Sekarang ini sesetengah bahagian ada di pelancongan dan ada juga di bawah menteri komunikasi. Dana ada, tapi melalui penerbitan. Tiada dana khas untuk seni diperuntukkan (dalam belanjawan),” katanya.
Peruntukan untuk golongan karyawan pada masa ini disalurkan Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (Cendana) dan Perbadanan Filem Kemajuan Malaysia (Finas).
Kedua-dua agensi ini di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Bagaimanapun pengurusan institusi seni termasuk Istana Budaya, Kraftangan Malaysia, Jabatan Kesenian Negara dan Balai Seni Negara di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Jadi kita yang penggiat seni ini tiada arah,” katanya kepada The Malaysian Insight selepas satu forum di Kuala Lumpur.
Forum bertajuk “Adakah Seni Akan Pupus Tanpa Dana Kerajaan” itu membincangkan masa depan pembiayaan untuk kegiatan golongan karwayan itu sekiranya tiada dana awam.
Mengulas perkara itu, Zunar berkata amalan kronisme masih wujud dalam agihan dana itu selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah.
Oleh itu, satu badan bebas perlu ditubuhkan untuk memantau pengagihan dana yang diperuntukan kerajaan, katanya.
“Apabila dana diterbitkan, masalahnya ia sering diberi kepada orang tidak layak dan ia selalu berlaku. Jadi, bukan kerajaan yang jadi tukang lulus tetapi badan bebas yang terdiri daripada orang yang berwibawa.
“Ia dapat mengelakkan orang memberi kepada kroni. Sekarang masih berlaku. Masih banyak dana diberikan kepada orang politik, kata Zunar lagi.
Turut berucap dalam forum itu ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim, pengarah filem, Al Jafree Md Yusop, penggiat seni Hanim Khairuddin dan penulis Hafiz Hamzah.
Penggiat seni Hanim Khairuddin pula berkata maklumat untuk peruntukan seni itu tidak diketahui umum kerana tidak disalurkan melalui satu platform khas.
“Sekarang ini, maklumat mengenai dana tidak sampai secara menyeluruh supaya lebih bersifat kepada orang tiada akses internet.
“Bawah Cendana ada beberapa peruntukan fokus tiga komponen seni muzik independen, seni visual dan seni persembahan,” katanya.
Beliau juga bersetuju agihan dana itu diselaras di bawah satu kementerian khas untuk membolehkan pemberian itu dibuat dengan sewajarnya.
“Satu bumbung perlu ada satu lembaga yang profesional terdiri daripada pakar-pakar budaya dan ahli seni untuk dapat membuat penilaian yang tepat supaya pemilihan pemberian secara adil,” kata Hanim.
Seorang lagi panelis, pengarah filem Al Jafree Md Yusop berkata meskipun banyak dana diberikan untuk filem melalui Finas, namun industri itu gagal berfungsi kerana tidak telus dalam pentadbiran.
“Finas sudah wujud berpuluh tahun dan pemberian dana tidak mendatangkan banyak kesan kepada industri. Sebabnya kalau kita tahu filem Malaysia adalah yang tercorot di Asia Tenggara berbanding Indonesia dan Singapura.
“Ini cabang seni sangat dipandang rendah di Malaysia. Saya rasa Finas gagal selepas (pentadbiran baru) 2018 pun Finas masih gagal. Kita kena berbuat sesuatu,” katanya.
Beliau memberi contoh dana Finas sebanyak RM13.4 juta yang lesap selepas tujuh syarikat penerima dana itu gagal menyiapkan filem mereka.
Sebaik mengambil alih kerajaan, PH melantik pengarah filem terkenal Ahmad Idham dan Hans Isaac, masing-masing sebagai ketua pegawai eksekutif dan pengerusi baharu Finas.
Bagaimanapun pelantikan itu menerima kecaman sesetengah pihak kerana dilihat tidak banyak membawa pembaharuan kepada Finas. – 25 Ogos, 2019.
Komen