2 individu sapu duit Finas RM13.4 juta, lapor media


Ketua Pengarah Finas, Fauzi Ayob berkata semua projek sudah dibatalkan kontraknya dan kini sedang dalam proses tindakan perundangan. – Gambar Facebook, 15 September, 2018.

TUJUH syarikat produksi akan diheret ke mahkamah oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kerana gagal menyiapkan filem dalam masa tiga tahun selepas menerima dana penerbitan agensi itu, yang keseluruhannya berjumlah hampir RM16 juta, lapor Harian Metro.

Tujuh projek itu bagaimanapun hanya melibatkan dua individu yang menggunakan tujuh syarikat berbeza untuk mendapatkan dana penerbitan Finas, lapor akhbar itu.

Semua projek itu sudah dibatalkan kontraknya dan kini sedang dalam proses tindakan perundangan, kata Ketua Pengarah Finas, Fauzi Ayob.

“Dalam perjanjian, jika projek gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan, Finas boleh mengenakan tindakan untuk membatalkan perjanjian dan syarikat produksi perlu memulangkan dana yang sudah disalurkan,” kata Fauzi, seperti dipetik akhbar itu.

Semua dana itu diluluskan antara 2015 dan 2016, setiap satu berjumlah antara RM1.2 juta hingga RM5 juta, kata Fauzi yang mengetuai Finas sejak 1 Januari 2017.

Seorang individu berumur dalam lingkungan 30-an menggunakan tiga buah syarikat yang menerima dana berjumlah RM8 juta. Seorang lagi individu berumur 60-an menggunakan empat buah syarikat yang menerima dana RM5.4 juta.

Harian Metro melaporkan individu kedua itu turut mengambil alih sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh individu yang pertama.

Sebuah produksi lain, yang menerima dana penerbitan sebanyak RM2.5 juta, merayu tindakan yang diambil dan kini sedang dalam proses menyiapkan sebuah filem animasi yang tertangguh.

Fauzi juga memberitahu Finas dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku dan “selepas ini kita tidak akan amalkan dasar kronisme.”

The Malaysian Insight difahamkan lapan buah filem yang tidak dinamakan dalam laporan Harian Metro itu tidak sama dengan beberapa judul yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1 yang dikeluarkan awal bulan lepas, yang menerima dana penerbitan Finas antara 2012 dan 2013.

Dalam laporan itu, dua filem yang dibuat sejak 2012 dan 2013 gagal disiapkan empat tahun selepas mendapat dana Finas sebanyak RM1.44 juta. Finas juga tidak dapat mengenakan tindakan denda kerana tidak dimasukkan syarat itu dalam kontraknya, yang bertentangan dengan garis panduan kerajaan.

Enam projek lain, melibatkan bantuan penerbitan RM7.2 juta, gagal siap kerana tidak dipantau dengan teliti oleh Finas, dedah laporan audit itu. – 15 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen