DAP akan mengumumkan tidak lama lagi kedudukan Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang sedang berhadapan tuduhan merogol pembantu rumahnya, kata Lim Guan Eng.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, parti akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi dalam masa terdekat selepas pemimpin kebangsaan menyampaikan pandangan mereka kepada pemimpin DAP Perak.
“Pemimpin kebangsaan parti telahpun sampaikan pandangan kepada pemimpin (DAP) negeri Perak.
“Saya percaya satu kenyataan akan dikeluarkan. Kita tunggu dululah,” katanya ringkas dalam satu sidang media selepas Majlis Karnival Merdeka di Bagan, Pulau Pinang.
Jumaat lepas, Yong mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol bekas pembantu rumahnya, yang merupakan warganegara Indonesia.
Beliau dibenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
Menteri Besar Perak, menasihati wakil rakyat itu supaya bercuti daripada tugas rasmi sehingga perbicaraannya selesai.
Namun, Yong bertegas untuk tidak bercuti dan kekal sebagai exco kerajaan negeri.
Yong merupakan Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak.
Pada 8 Julai lalu, pembantu rumah itu yang berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Yong di rumah majikannya itu, di Meru. – 25 Ogos, 2019.
Komen