Exco Perak yang dituduh rogol tidak mahu ambil cuti


Adun Tronoh Paul Yong Choo Kiong berkata beliau akan terus menjalankan tugasnya walaupun berdepan perbicaraan kes rogol yang dikenakan terhadapnya. – Gambar Facebook, 23 Ogos, 2019.

ADUN DAP Perak Paul Yong Choo Kiong bertegas akan terus kekal menjalankan tugas sebagai exco negeri walaupun dinasihatkan untuk bercuti sehingga perbicaraan kes rogol dikenakan terhadapnya selesai.

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh wartawan di luar Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini, di mana beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol bekas pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia.

“Saya masih exco. Saya mewakili rakyat. Saya tidak disabitkan lagi.

“Sudah tentu saya akan terus bekerja. Rakyat beri saya mandat, saya perlu berkhidmat untuk mereka. Kenapa saya perlu berhenti? Kenapa saya perlu bercuti?,” katanya dipetik berkata kepada Malaysiakini.

Yong, 49, yang juga Adun Tronoh dibenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Menteri Besar Perak Faizal Azumu semalam berkata beliau menasihati wakil rakyat itu supaya bercuti daripada tugas rasmi sehingga perbicaraannya selesai.

Yong didakwa melakukan perbuatan itu pada 7 Julai di rumahnya. Beliau menafikan semua tuduhan dan berkata beliau dianiaya.

Speaker DUN Perak Ngeh Koo Ham malam tadi membuat laporan polis, mendakwa wujud elemen intimidasi dan paksaan dalam tuduhan terhadap Yong.

Ngeh berkata lelaki yang membawa pembantu rumah terbabit membuat laporan polis menerima RM100,000 dan diugut oleh lelaki lain dengan pistol supaya tidak mendedahkan perkara itu. – 23 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen