Polis bebas penganjur himpunan bantah tulisan Jawi


Alfian Z.M. Tahir

Pengerusi penyelaras perhimpunan 'Puratchi' Umagandhan Krishnan ketika berucap sebelum ditahan semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Ogos, 2019.

DUA individu yang ditahan semalam kerana menganjur perhimpunan bantah tulisan Jawi di Brickfields dibebaskan dengan jaminan polis.

Pengerusi penyelaras perhimpunan “Puratchi” Umagandhan Krishnan dan Pengerusi Malaysia Chinese-Educated Students’ Association, Tan Boon Tak dibebaskan pada pukul 12 tengah hari tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields Arifai Tarawe ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Mereka dibebaskan tengah hari tadi. Mereka ditahan selepas berucap semalam dan kenyataan mereka telah direkodkan,” katanya.

Arifai semalam berkata pengajur gagal mendapatkan kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengadakan himpunan yang menyebabkan kesesakan teruk di Brickfields.

Orang ramai mula berkumpul sekitar jam 6 petang di kawasan air pancut di persimpangan Jalan Rakyat dan Jalan Sambanthan.

“Puratchi” membawa maksud “revolusi” dalam bahasa Tamil.

Salah seorang penganjur perhimpunan 'Puratchi' Pengerusi Malaysia Chinese-Educated Students’ Association, Tan Boon yang ditahan polis semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Ogos, 2019.

Acara bermula pada jam pukul 7.20 malam, dimulai dengan ucapan Umagandhan dan Tan. Mereka diberi masa selama 10 minit untuk berucap sebelum ditahan.

Polis menganggarkan sekitar 500 orang berada di perhimpunan itu. Kebanyakan peserta himpunan memakai baju tertera tulisan “Kami Tidak Setuju Pelaksanaan Tulisan Jawi Dalam SRJK(T)/SRJK(C)”.

Satu lagi perhimpunan membantah penceramah kontroversi Dr Zakir Naik yang dijadualkan pada pukul 2 petang hari ini dibatalkan selepas polis mengeluarkan amaran.

Salah seorang penganjurnya, Shankar Ganesh Siridharan berkata perhimpunan dibatalkan atas permintaan Presiden PKR Anwar Ibrahim. 

Bagaimanapun, mesej dalam aplikasi bual WhatsApp masih tersebar menggesa rakyat untuk terus berhimpun hari ini, dengan peringatan supaya bersurai secara aman.

Himpunan yang dijadualkan berlangsung hari ini itu bertujuan meluahkan sentimen orang India Malaysia tentang Zakir yang didakwa menghina penganut Hindu dalam ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan awal bulan ini.

Zakir didakwa menuduh penganut Hindu Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Zakir menafikan tuduhan itu, menyifatkan kandungan ceramahnya disalah tafsir.

Himpunan hari ini juga bertujuan membantah isu lain seperti pengajaran seni khat Jawi di sekolah vernakular serta kemiskinan dan penindasan orang India. – 24 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen