KEDUDUKAN Exco Perak Paul Yong yang kini dituduh di mahkamah atas dakwaan merogol masih belum diputuskan oleh parti, kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke.
Katanya, keputusan sama ada Yong patut bercuti hanya boleh dibincangkan dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP.
“Perkara yang perlu kita ambil kira sekarang ialah menghormati proses perundangan. Setakat ini, parti belum membuat sebarang keputusan (terhadap Paul Yong).
“Kita mempunyai barisan kepimpinan, dan biarlah melalui CEC yang membuat keputusan,” kata Loke dalam satu sidang media selepas melancarkan Pas Mutiara di Pulau Pinang hari ini.
Yong hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol bekas pembantu rumahnya, seorang warganegara Indonesia.
Beliau dibenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
Walaupun dinasihatkan untuk bercuti, beliau juga bertegas akan terus kekal menjalankan tugas sebagai exco negeri
Menteri Besar Perak Faizal Azumu semalam berkata beliau menasihati wakil rakyat itu supaya bercuti daripada tugas rasmi sehingga perbicaraannya selesai.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngeh Koo Ham malam tadi membuat laporan polis supaya satu siasatan lanjut dilakukan mengenai dakwaan kes itu.
Kata beliau, ada muslihat di belakang dakwaan Yong merogol pembantu rumahnya. – 23 Ogos, 2019.
Komen