Kita perlu selesaikan ‘dilema Melayu baharu’, kata Khairy


Sheridan Mahavera Lee Chi Leong

Melayu sekarang berdepan dilema baharu, untuk bergerak ke depan kita perlu selesaikannya, kata Khairy Jamaluddin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 Ogos, 2019.

ORANG Melayu sedang berdepan “dilema baharu” dan pilihan dibuat dalam keadaan sukar ini akan menentukan bentuk Malaysia Baharu selepas 2020, kata Ahli Parlimen daripada Umno, Khairy Jamaluddin.

Katanya, bagaimana orang Melayu serta Bumiputera Sabah Sarawak menyelesaikan dilema itu akan memberi kesan kepada masa depan dasar sosio-ekonomi termasuklah soal batasan pemberian bantuan kebajikan dan pemberian biasiswa.

Istilah dilema Melayu dipopularkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam bukunya, “Dilema Melayu” diterbitkan pada 1970.

Konsep itu berpengaruh besar kepada dasarnya sepanjang menjadi perdana menteri kali pertama pada 1981 hingga 2003.

Dilema Melayu baharu, menurut Khairy, adalah bagaimana untuk mendapatkan persetujuan bersama ke atas tafsiran Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Ini adalah disebabkan dua tafsiran berbeza perkara ini yang dibuat orang Melayu sendiri memberi kesan kepada dasar kerajaan yang mempengaruhi kehidupan Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak serta orang bukan Melayu, katanya lagi.

Tafsiran pertama, yang digelar Khairy sebagai “tafsiran ringan” adalah Yang Di-Pertuan Agong hanya menetapkan jumlah tertentu biasiswa dan jawatan penjawat awam untuk orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Tafsiran kedua pula, menurutnya, adalah kedudukan istimewa yang meliputi semua perkara daripada biasiswa, pekerjaan perkhidmatan awam sehinggalah kepada permit perniagaan dan diskaun rumah serta pegangan dalam syarikat swasta.

Orang Melayu sendiri tidak mahu setiap kejayaannya dikaitkan dengan campur tangan kerajaan, kata bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 Ogos, 2019.

“Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak perlu memutuskan tafsiran Perkara 153 manakah untuk masa depan,” katanya pada sebuah forum awam bertajuk “Beyond 2020: Fresh Views and New Visions” anjuran Jeffrey Cheah Institute on Southeast Asia, hari ini.

Forum itu juga dianjurkan bersama oleh The Centre, badan pemikir yang ditubuhkan Khairy bersama-sama Timbalan Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan.

Sebaik sahaja dilema itu diselesaikan, kata Khairy, negara boleh membentuk dasar afirmatif dan penyerakan ekonomi yang lebih baik.

“Menyelesaikan dilema Melayu akan memandu penyelesaian dilema Melayu baharu bagi memastikan semua warga Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum akan mendapat peluang dan ruang untuk cemerlang.”

Tafsiran Perkara 153 menjadi asas kepada banyak dasar dilancar kerajaan Barisan Nasional untuk orang Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak.

Pendekatan BN terhadap Perkara 153 mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam yang merasakan terpinggir.

Salah satu amalan BN adalah pemberian berlebihan kontrak kerajaan, lesen dan permit kepada ahli perniagaan Melayu. Amalan ini dikatakan jadi punca penyuburan budaya dan mentaliti “hak” dalam kalangan orang Melayu.

Khairy, bagaimanapun, tidak bersetuju dengan mentaliti “hak”, berkata ahli perniagaan Melayu tidak wajar berbangga sekiranya mereka berjaya menggunakan kontrak kerajaan.

“Saya tak rasa satu kebanggaan untuk orang Melayu kata kerajaan sentiasa ada untuk kami. Saya fikir akhirnya orang Melayu sendiri mahu berbangga dengan kejayaan mereka tanpa (bantuan) kerajaan.

“Menyelesaikan dilema Melayu baharu akan bermakna orang Melayu tak perlukan lagi kerajaan. Ini (campur tangan kerajaan) bukan titik punca kebanggaan. Seorang ahli perniagaan Melayu yang boleh dibanggakan adalah mereka yang boleh berjaya sendiri tanpa campur tangan kerajaan.” – 19 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen