Nasib orang terpinggir


Zainal Rashid Ahmad

(SETELAH menerima mesej permohonan bantuan, ingatan kembali pada Ogos tahun lalu)

Bulan Ogos tahun lalu, saya mengunjungi SEED Foundation yang ditubuhkan Nisha Ayub dan Yusmar Yusuf. 16 Ogos genap setahun peristiwa lawatan bersejarah itu berlalu.

Saya berminat melihat SEED secara dekat setelah berlaku kontroversi berikutan pertemuan pengasasnya Nisha dengan Menteri Agama, Mujahid Yusuf.

SEED ialah nama popular bagi Pertubuhan Pembangunan Kebajikan dan Persekitaran Positif Malaysia. NGO ini aktif melindungi komuniti pondan dan transgender marginal.

SEED diasaskan Nisha dan Yusmar dengan pengalaman lebih 30 tahun mengabdikan diri pada kerja-kerja amal.

Kepakaran mereka spesifik dalam membantu kumpulan marginal pondan dan transgender yang disisihkan.

Selain itu, SEED juga memberikan perlindungan pada gelandangan dan pengidap HIV di premis singgah di Jalan Tiong Nam, Kuala Lumpur.

Matlamat SEED jelas – membantu komuniti tersisih ini meningkatkan skil dan keupayaan diri bagi memperbaiki kualiti hidup.

SEED rumah singgah yang kecil. Lot bawah di flat empat tingkat binaan gaya lama.

Keluasannya hanya 500 kaki persegi. Dalam ruang sempit yang sendat inilah, 20 hingga 30 pondan dan transgender berlindung tiap Isnin hingga Jumaat.

SEED menyediakan sarapan dan makan tengahari, sudut rehat, tempat mencuci pakaian dan bilik mandi.

Terdapat ruang tamu yang kecil dan sebuah bilik yang dijadikan setor makanan. Bahagian dapurnya pula sekitar lapan kali 12 kaki persegi.

Dapur sempit ini turut dijadikan lantai pembaringan lima atau enam orang gelandangan yang keletihan. Selalunya, pondan dan trangender tua yang semalaman tidur di jalanan.

SEED beroperasi mulai 9 pagi hingga 6 petang, setiap Isnin sampai Jumaat.

“Kami beri perlindungan makan dua kali sehari. Ada kala, ibu muda datang menumpang dengan bayi kecil yang baru dilahirkan,” kata Yusmar sambil menunjukkan bayi kecil yang terbaring di sisi ibunya.

SEED jadi perhatian selepas Nisha bertemu Mujahid. Isunya mengenai kontroversi poster Nisha yang dipaparkan di pameran Festival Georgetown pada awal Ogos tahun lalu.

Pameran itu mengikraf Nisha sebagai pejuang hak asasi dan aktivis transgender. Ini merujuk pada 30 tahun usaha Nisha menjalankan kerja amal.

Selain rumah singgah SEED, Nisha turut mengendalikan rumah perlindungan warga tua di Ampang.

Pertikaian tanpa batas

Nisha transgender. Tidak hairanlah, sentimen anti transgender menjadi isu utama apabila masyarakat menghukum pertemuan Mujahid dan Nisha sebagai tanda kerajaan tunduk dan mengiktiraf transgender.

Nisha tersinggung kerana identiti transgender dijadikan alat politik. Tanpa justifikasi menyeluruh, usaha Nisha dan SEED membantu pondan dan trangender tua yang tiada tempat berlindung dilupakan begitu saja.

“Menurunkan gambar saya yang dipamerkan pada Festival Georgetown di Pulau Pinang tidak selari dengan semangat Malaysia Baharu,” kata Nisha.

Namun, sebagai aktivis yang sudah tiga dekad menguruskan komuniti pondan dan transgender marginal, Nisha tidak marah atau bimbang.

Tindakan menurunkan posternya di Festival Georgetown tidak mengubah apa-apa.

Nisha kekal dengan matlamat untuk terus membantu gelandangan pondan dan transgender.

Selepas riuh isu pertemuan Nisha dan Mujahid di JPM pada 11 Ogos 2018, hingga dianggap pertemuan itu sebagai pengiktirafan PH terhadap transgender, Nisha dan SEED menerima sedikit perhatian.

Seminggu selepas insiden itu, satu delegasi bantuan dengan 500 kilogram beras dan pelbagai keperluan barangan dapur dikumpul dan dihantar ke premis singgah SEED.

Saya menyaksikan bantuan itu tiba. Juga, kehadiran pakar kaunseling yang menawarkan khidmat dialog tertutup dengan transgender dan pondan bermasalah.

“Tiga daripada 12 pondan dan transgender yang hadir dalam sesi kaunseling ini ada rekod cubaan membunuh diri,” kata Yusmar.

Cuma, sayangnya – pada hari itu dan seterusnya, itulah saja bantuan baru yang hadir. Sejak itu, SEED kembali bergantung pada sokongan simpatisan lama.

Wujud kekecewaan kerana tiada agensi kerajaan yang berkaitan hadir selepas kejadian di JPM. Walaupun, Mujahid sudah menjelaskan – sifat ehsan dan insan harus diberikan perhatian.

“Dosa tetap dosa, salah tetap salah, dan mungkar tetap mungkar. Tetapi kita kena bimbing mereka (pelaku) itu ke jalan yang benar melalui konsep Rahmatan Lil Alamin.

“Seperti contoh kita ada anak dan anak buat salah. Kita tidak suka kesalahan dia tetapi apa kita buat, kita akan bimbing anak kita bahawa kesalahan yang dilakukan tidak betul dan salah.

“Adakah rakyat Malaysia mahu saya jadi menteri yang melihat sahaja kemungkaran dan membenci pemungkar, mengherdik, mencaci dan menghina. Adakah rakyat Malaysia mahu saya begitu, saya fikir tidak.”

Dunia pondan tua dan tekanan bunuh diri

Pada sesi kaunseling, saya duduk bersama dalam lingkaran 12 transgender dan pondan tua yang semuanya nampak lesu dan sangat tertekan.

“Kami bertarung dengan keinginan membunuh diri setiap hari,” kata pondan tua yang berusia lebih 60 tahun.

Tanpa keluarga, tanpa rumah dan hilang keupayaan mencari pekerjaan kerana stigma masyarakat, majoriti transgender menderita hidup di jalanan. Tanpa rumah dan pendapatan, mereka hampir tiada akses pada makanan.

“Saya dibuang keluarga sejak 40 tahun lalu, dan disahkan HIV sudah lama. Gangguan jiwa memburukkan lagi keadaan fikiran. Saya kerap mencuba bunuh diri,” kata transgender yang pernah aktif sebagai pekerja seks.

“Siang saya datang sini kerana Nisha dan Yusmar beri makanan. Tapi sini tiada hostel. Malam saya tidur di jalanan,” katanya.

Ketika artikel ini ditulis, genap setahun Mujahid bertemu Nisha di JPM pada 11 Ogos tahun lalu.

Derita dan duka komuniti marginal

Sesi dialog antara musafir SEED dan kaunselor berlangsung sekitar dua jam. Saya kagum pada empat aktivis psikiatri klinikal yang cukup tabah melayan satu demi satu pengakuan dan masalah penghuni SEED.

“Saya sakit dan perlu ke hospital setiap dua minggu. Saya ke sini dan Yusmar akan temani saya ke hospital. SEED bayarkan bil dan kos rawatan,” kata seorang pengidap HIV.

Lelaki mirip wanita itu nampak kurus dan kurang bermaya.

Sepanjang perbualan, dia hanya tidur di lantai simen dapur yang sempit bersama lima rakannya.

Keletihan bermalam di tepi jalan, membuatkan mereka tidur culas di dapur premis SEED pada siang hari.

Setahun selepas pertemuan Mujahid dan Nisha, saya yakin – SEED masih berdepan stigma awam.

Ramai yang masih enggan membantu, malah menjauhi permasalahan trangender dan pondan. Walaupun dalam kes SEED, bantuan yang diperlukan demi makanan dan perubatan.

Saya kembali teringat SEED apabila membaca mesej Yusmar. Hati jadi tersentuh mengingatkan wajah-wajah lapar dan berdepan ancaman penyakit maut.

Selama ini, mereka hidup dan berlindung di premis kendalian Nisha dan Yusmar.

“Hi all, if you guys know of anyone who’s willing and open to sponsor our home for 6 months or a year please connect them to us ya. Thank you.”

Itu mesej Yusmar.

Bantulah mereka. Hubungi 03 2697 0655

Atau saluran bantuan di akaun, CIMB 800-6999-903

Pertubuhan Pembangunan Kebajikan Dan Persekitaran Positif Malaysia (SEED)

Atau hantar bantuan ke SEED Foundation di No 69, Jln Tiong Nam, Kuala Lumpur. – 18 Ogos, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen