SAYA mengunjungi Seed Foundation pada Rabu, 15 Ogos untuk melihat sendiri secara dekat peranan NGO ini. Apa sebenarnya agenda Seed, ketika debat mengenai pengasasnya, Nisha Ayub sedang heboh diperkatakan.
Fokus utama saya: Apakah benar Nisha aktivis LGBT seperti yang dihebohkan? Apakah Seed pusat menyebarkan agenda LGBT?
Atau sebenarnya, Seed hanya berperanan seperti kenyataan laman sesawangnya? Kalau ikut maklumat web, Seed aktif menjalankan kerja-kerja kebajikan menangani golongan trangender.
Dalam istilah mudah, kita nak tahu: Apa yang berlaku di pusat transit ini? Sekaligus memahami aspirasi kerja amal yang dijalankan pengasas Seed, Nisha dan Yusmar Yusof.
Seed ialah nama popular bagi Pertubuhan Pembangunan Kebajikan dan Persekitaran Positif Malaysia yang berfungsi sebagai rumah singgah untuk gelandangan komuniti transgender.
Tema pusat perlindungan ini sangat asas: menyediakan makanan dan kemudahan untuk gelandangan transgender yang tiada tempat tinggal. Malah, khidmat kaunseling dan latihan kemahiran untuk melatih gelandangan transgender meningkatkan kemahiran upaya diri.
Selain itu, Seed turut memberikan khidmat rawatan sekiranya ada yang sakit. Sebahagian yang datang memohon perlindungan hari ke hari ialah pengidap HIV/AIDS. Selain makanan, pusat transit ini turut menyediakan ruang rehat, kemudahan mandi dan mencuci pakaian.
Ketika dibawa melihat sekitar kawasan pusat transit ini, hati tersentuh. Ia hanya lot rumah kedai di tingkat bawah bangunan flat. Agak sempit kerana konsep binaan kelas rendah pada dekad tujuh puluhan. Ruang sempit ini dijadikan rumah singgah atau shelter, berlokasi di Jalan Tiong Nam, Kuala Lumpur.
Melihat realiti ini, melenyap pergi segala prasangka. Seed bukan organisasi pro “bendera pelangi” yang menuntut hak-hak kontroversi LGBT.

Secara relatif, ia berperanan dalam konteks kemanusiaan bagi membantu sekumpulan manusia yang hidup dalam kesusahan.
Majoriti ialah transgender veteran yang tiada rumah atau tiada saudara-mara. Lebih mudah, tiada tempat mengadu dan tempat berkeluarga.
Menurut Yusmar, rumah singgah ini menerima antara 20 hingga 30 gelandangan transgender setiap hari. Angka yang sangat terbatas kerana ruang shelter yang kecil serta kos menyediakan keperluan makanan dan kemudahan membersihkan diri.
“Kalau 50 orang, ia jadi sesak,” katanya ketika menjemput saya masuk ke ruangan dapur.
Selain digunakan untuk memasak, ruang dapur juga dijadikan tempat tidur gelandangan transgender yang keletihan kerana kekurangan rehat. Puratanya terdedah kepada masalah kesihatan kerana faktor umur yang meningkat.
“Ada yang sudah berhenti sebagai pekerja seks dan bekerja di warung-warung. Namun, gaji kecil dan tidak cukup untuk menyewa bilik,” kata Yusmar.
Seed beroperasi di Jalan Tiong Nam sejak 2014, setelah berpindah dari Jalan Chow Kit berdekatan CIMB Bank kerana kos sewa bangunan yang sangat mahal. Bajet yang terhad menyebabkan Seed membantu apa yang terdaya.
“Fokus kami ialah transgender tua yang terdedah pada ancaman kelaparan dan kesihatan,” katanya.
Seed menjadi perhatian berikutan kontroversi foto Nisha yang dipamerkan sebagai ikon Merdeka dalam sebuah pameran seni di Pulau Pinang. Tindak balas masyarakat yang menyelar apa relevannya Nisha diangkat sebagai ikon Merdeka mencetuskan debat umum.
Akhirnya, Seed ikut terpalit, difitnah sebagai gerakan LGBT yang menuntut kebebasan hak asasi bagi transgender. Isu itu menenggelamkan sisi murni Seed dalam kerja amal yang dijalankan bagi membantu transgender gelandangan.
Isu Nisha dan tempias terhadap Seed ikut menampakkan sisi gelap masyarakat kita yang gemar menghukum. Budaya menconteng arang semata-mata kerana marahkan dinding menyebabkan usaha murni Seed selama 10 tahun dilupakan.
“Kami akan terus membantu,” kata Yusmar, “kami sudah lali dengan kritikan begini.”
Seed dan Nisha serta Yusmar akan kekal ada. Bukan kerana mereka hero atau adiwira. Seed wujud kerana ia simbol ketamadunan manusia. Ia refleksi ajaran agama yang menyeru pada berbuat baik sesama manusia. – 22 Ogos, 2018.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen