DARI luar pagar kilang Lynas Advanced Material Plant (LAMP) yang terletak di pinggir Kuantan, jelas kelihatan dua timbunan sisa buangan kira-kira setinggi empat meter manakala timbunan ketiga mula meninggi.
Bau sulfur yang kuat juga boleh dihidu.
Timbunan ini adalah sisa Naturalisation Underflow Residue (NUF) atau gipsum sintetik yang kaya dengan magnesium, yang dibuang selepas nadir bumi diproses menjadi oksida, klorida dan karbonat, kata Tan Bun Teet.
Beliau adalah pengerusi kumpulan aktivis Selamatkan Malaysia dan Hentikan Lynas (SMHL) yang amat mengetahui selok belok tanah sekitar kilang itu yang terletak di kawasan Taman Perindustrian Gebeng, Pahang.
Katanya, timbunan sisa itu akan bertambah daripada 1.2 tan sisa NUF yang sedia ada selepas Putrajaya bersetuju melanjutkan operasi LAMP selama enam bulan lagi secara bersyarat.
“Menurut pelan yang dicadangkan, Lynas mahu menambah timbunan itu setinggi 34 meter,” kata Tan ketika membawa The Malaysian Inside ke lokasi tersebut.

Beliau menyifatkan lanjutan bersyarat Putrajaya sebagai ‘kompromi’ untuk memuaskan hati kumpulan anti-Lynas.
“Kerajaan tidak mahu dilihat mengalan sepenuhnya kepada Lynas. Tetapi ia sebenarnya membolehkan Lynas terus beroperasi selama empat tahun lagi.
“Ia memandangkan syarat pertama kerajaan adalah Lynas perlu tempoh empat tahun untuk membina kemudahan pemecahan dan larut-resap di Australia Barat,” kata bekas guru Matematik berusia 71 tahun itu.
SMHL membantah keputusan Putrajaya melanjutkan tempoh operasi Lynas selama enam bulan dengan mengadakan himpunan di Taman Gelora Kuantan.
Polis berkata himpunan itu tidak diluluskan tetapi Tan, tetap meneruskannya.
Tan menganggap keputusan Putrajaya itu sebagai ‘kelulusan tersirat’ untuk Lynas beroperasi selama empat tahun lagi.
“Jika tempoh enam bulan tidak dilanjutkan, bagaimana Lynas boleh membina kemudahan dan menepati syarat yang ditetapkan kerajaan?” soalnya.

Tan mengumpul maklumat berhubung Lynas dari mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat perlombongan Australia itu dan beliau menghadiri tiga mesyuarat di Sydney beberapa tahun sebelum ini.
Beliau juga membeli saham syarikat itu supaya melayakkannya untuk hadir ke AGM bagi mengenalpasti pembangunan dan firma itu dan perancangannya untuk LAMP.
Beliau juga mengikuti perkembangan Lynas di Bursa Saham Australia.
“Walaupun kerajaan (Malaysia) tidak berkata sama ada menerima usul Lynas, syarikat itu sudah mengumumkan kepada Bursa Saham Australia bahawa Malaysia akan membenarkannya menimbunkan sisa NUF setinggi 34 meter di kawasan seluas 39 hektar.
“Kawasan ini terletak di belakang kilang Lynas,” katanya.
Tan berkata Lynas merancang untuk menghasilkan lebih banyak logam berharga Neodymium Praseodymium (NdPr) berbanding lanthanum.
NdPr berharga AS$45 sekilogram berbanding lanthanum (AUS$1.90 sekilogram). – 18 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen