Terima keputusan Kabinet lanjut lesen Lynas, kata Zuraida


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata beliau terima keputusan Kabinet lanjut lesen operasi kilang Lynas di Gebeng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2019.

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin hari ini, berkata beliau menerima keputusan Kabinet melanjutkan lesen operasi kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng di Kuantan.

“Ini keputusan Kabinet yang dibincangkan dan dipersetujui. Saya ahli Kabinet, jadi saya perlu mengikut keputusan yang diputuskan oleh Kabinet,” katanya semasa ditanya pendiriannya dalam isu itu.

Zuraida berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada majlis penyampaian hadiah acara memanah Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang di Arena Mahkota di Pekan, hari ini.

Beliau juga memaklumkan kementeriannya akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang untuk membuat semakan tapak yang sesuai dijadikan Tapak Pelupusan Kekal (PDF) bagi sisa Water Leach Purification (WLP) yang dihasilkan Lynas.

Pembinaan PDF dalam tempoh enam bulan adalah antara syarat yang wajib dipenuhi Lynas dalam keputusan Kabinet melanjutkan lesen operasi kilang itu, yang dijadualkan berakhir bulan hadapan, kepada tempoh enam bulan.

“Kerajaan negeri akan mencadangkan tapak untuk PDF dan kerajaan Persekutuan akan membuat semakan sama ada sesuai atau tidak. Ia perlu mengikut garis panduan standard seperti berapa jauh daripada penduduk dan kawasan perumahan.

“Setakat ini, kita belum mendengar ada tapak yang dicadangkan, namun kita harap kerajaan negeri beri kerjasama kepada Lynas supaya mereka boleh membuat perancangan berhubung tapak PDF itu,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai insiden lif terhempas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu, Zuraida berkata siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian masih berjalan.

Beliau juga memaklumkan kementeriannya akan mengadakan mesyuarat pelarasan bagi memastikan lif di kawasan perumahan dipantau dan diselenggara secara berkala bagi mengelakkan kejadian sama berlaku.

“Lif ini di bawah kelolaan Kementerian Sumber Manusia di mana ia adalah kawalan Niosh di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan mereka yang membuat keputusan.

“Namun, memandangkan insiden ini membabitkan perumahan rakyat di bawah KPKT, jadi kita akan memastikan setiap lif yang ada dilakukan pemantauan berkala dan harus dipantau serta diselenggara mengikut jadual,” katanya. – Bernama, 16 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen