KETEPIKAN simpanan bulanan merupakan satu cabaran besar kepada golongan berpendapatan rendah berikutan perbelanjaan yang tidak menentu dan komitmen kewangan lain, kata mereka dari kumpulan B40.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, jumlah simpanan mereka bergantung kepada banyak faktor seperti status perkahwinan, saiz keluarga dan komitmen kewangan lain.
Kumpulan B40 adalah mereka yang berpendapatan isi rumah RM3,000, menurut Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019.
Mereka mengulas gesaan pakar yang mencadangkan mereka dari kumpulan B40 cuba menyimpan 30% daripada pendapatan bulanan mereka, termasuk mencarum KWSP, untuk waktu kecemasan dan persaraan.
Ini berdasarkan garis panduan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikeluarkan pada April, iaitu Belanjawanku, yang mensasarkan untuk membantu golongan B40 di Malaysia menguruskan perbelanjaan mereka, mengetepikan sebahagiannya untuk simpanan dan tidak terjebak dengan hutang.

Pegawai tanggungjawab sosial korporat di sebuah syarikat swasta, Nur Fatihah Yusoff, menerima pendapatan bulanan RM2,500, dan hanya mempunyai RM200 untuk simpanan bulanan sekiranya tiada perbelanjaan tambahan.
“Saya ada simpanan daripada potongan KWSP. Bagaimanapun, ia tidak stabil kerana saya ada banyak komitmen. Jumlah bulanannya tidak sama,” katanya.
“Adakalanya terdapat perbelanjaan yang tidak dijangka seperti kesihatan, kecemasan, berikan duit kepada keluarga,” kata wanita berusia 27 tahun yang tinggal bersama keluarganya di rumah yang disewa.
Perbelanjaan bulanan Nur Fatihah biasanya melibatkan sewa rumah, makanan, insurans, bayaran pinjaman pendidikan dan sumbangan peribadi.
Bagi Iskandar, 25, yang merupakan seorang kerani penghantaran, statunya yang masih bujang dengan pendapatan bulanan RM1,100 membuatkan beliau mampu membuat simpanan untuk kecemasan.
“Setakat ini saya mampu urusan perbelanjaan saya dan berikan duit kepada ibu bapa. Saya rasa ia boleh kerana saya tidak ada komiten dan masih belum berkahwin,” katanya.
“Potongan KWSP saya adalah simpanan untuk hari tua,” katanya.
Sementara itu, bagi bapa kepada lima orang anak, Syazarul, 43, yang mempunyai pendapatan bulanan RM3,000, hampir mustahil untk membuat simpanan bulanan.
“Dengan kos sara hidup di Lembah Klang, adalah mustahil untuk membuat simpanan, terutamanya jika ada komitmen. Keutamaannya adalah makanan, pengangkutan dan kos minyak.
“Empat anak saya masih bersekolah dan menaiki tren. Ia bukan murah. Itu sahaja dah hampir RM40 sehari,” katanya.
Syazarul sudah membuat potongan KWSP untuk tempoh 10 tahun. Katanya, akaunnya akan mempunyai RM30,000 selepas tamat tempoh itu. Sejak itu beliau bekerja dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan bekerja di bawah skim pencen.
“Kita perlu buat lebih daripada satu kerja untuk hidup di Kuala Lumpur,” katanya.
“Sekiranya kamu masih bujang dan mempunyai pendapatan bulanan RM3,000, jadi mungkin boleh buat simpanan. Namun ianya mustahil bagi mereka yang berkeluarga.”

Navamani, 56, yang mencarum KWSP selama tiga tahun ketika bekerja di hospital berkata, beliau keluarkan RM4,800 untuk membeli rumah.
“Saya mendapat gaji RM950 ketika masih mencarum dan mempunyai seorang anak lelaki yang sakit,” kata Navamani yang tinggal di flat DBKL dengan sewa bulanan RM124.
“Kini, saya tidak lagi mencarum kerana bekerja secara kontrak dengan syarikat pembersihan. Saya masih menerima gaji RM950 sebulan.
“Tetapi saya tidak pernah ada simpanan kerana keadaan anak saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurutnya, gajinya hanya cukup untuk bertahan selama setengah bulan, termasuk dengan bayaran perubatan anaknya.
Bekas wartawan, Ragunathan, 57, berkata beliau hanya menerima RM100,000 dalam simpanan KWSP ketika persaraannya.
“Saya hanya berkelulusan SPM dan gaji paling tinggi saya dapat adalah RM2,200, jadi banyak mana sahaja caruman yang saya ada. Ia hanya kira-kira RM100,000 lebih, itu pun sudah dikeluarkan sebahagiannya untuk membeli rumah,” katanya.
Menurut KWSP, seseorang itu sebaiknya perlu memiliki RM240,000 dalam akaun mereka untuk bertahan selama 20 tahun selepas bersara.
Ragunathan berkata gaji yang rendah juga menjadi penghalang kepada penyumbang, terutamanya mereka dari golongan berpendapatan rendah, untuk menaikkan RM240,000 pada masa mereka bersara.
Garis panduan Belanjawanku KWSP menganggarkan penduduk di Lembah Klang, yang masih bujang dan menggunakan pengangkutan awam, memerlukan gaji bulanan RM1,870 manakala mereka yang guna pengangkutan sendiri memerlukan RM2,490 sebulan.
Pasangan yang sudah berkahwin memerlukan antara RM4,420-RM6,620 sebulan bergantung kepada jumlah anak. Pasangan warga emas pula memerlukan RM3,090 sebulan. – 17 Ogos, 2019.
Komen