Pakar cadang simpan 30% pendapatan bulanan untuk persaraan


Ragananthini Vethasalam

Kajian mendapati golongan berpendapatan rendah banyak berbelanja untuk keperluan seperti makanan dan pengangkutan awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2019.

RAKYAT Malaysia terutama mereka berpendapatan rendah wajar menyimpan sekurang-kurangnya 30% pendapatan mereka untuk waktu kecemasan dan persaraan, kata pakar panel penghasilan garis panduan belanja dikeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengarah Pusat Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya Profesor Emeritus Dr Norma Mansor berkata 30% itu termasuklah caruman bulanan KWSP mereka.

Katanya kepada The Malaysian Insight, rakyat Malaysia secara umumnya masih belum ada tahap celik kewangan yang baik dan dalam usaha mendidik mereka, SWRC mewujudkan program “Belanjawanku” bersama-sama KWSP sebagai garis panduan perbelanjaan kepada kumpulan berpendapatan rendah.

Dilancarkan April lalu, idea “Belanjawanku” adalah untuk membantu rakyat Malaysia kumpulan terbawah 40% (B40) untuk menguruskan perbelanjaan dan membuat simpanan supaya tidak terperangkap dalam jerat hutang.

“Walaupun hanya sedikit dan jumlahnya tak banyak, mereka patut cuba menyimpan…syaratnya adalah rakyat perlu sentiasa cuba simpan 30% pendapatan mereka,” kata Norma.

“Anda ada KWSP dan semua itu sudah 23%, jadi 10% lagi pendapatan anda perlu disimpan,” tambahnya.

Menurut kajian dibuat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) pada tahun lepas, 52% rakyat Malaysia tidak mampu mengeluarkan RM1,000 sekiranya berlaku kecemasan.

Manakala, 68% yang bersara pada usia 55 tahun pula tidak mempunyai sekurang-kurangnya RM240,000 dalam akaun KWSP mereka, jumlah minimum yang diperlukan untuk menampung hidup selama 20 tahun lagi selepas bersara.

“Belanjawanku” memerlukan seseorang untuk menetapkan perbelanjaan mereka untuk perkara wajib seperti makanan, pengangkutan dan perumahan, sebelum baki wang itu disimpan.

“Jika anda rasa terlebih belanja satu kategori, anda perlu kurangkan belanja untuk kategori lain. Ini akan membantu anda menguruskan perbelanjaan bulanan,” katanya.

Pengangkutan awam adalah salah satu perkara yang menelan banyak duit rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2019.

Kumpulan B40 di Malaysia cenderung berbelanja lebih untuk keperluan seperti makanan, pengangkutan dan perumahan.

Diminta mengulas sama ada caruman KWSP berjumlah RM240,000 boleh dicapai oleh mereka yang bergaji minimum, Norma berkata ia boleh dilakukan memandangkan wujud carumah berterusan bermula dari seseorang mula bekerja sehinggalah mereka bersara.

Pencarum juga perlu mengelak mengeluarkan lebih daripada 30% simpanan KWSP mereka pada usia 55 tahun.

Gaji minimum satu masalah

Gaji rendah dan tidak berganjak adalah masalah terbesar dihadapi B40, tambah Norma.

Katanya, gaji median hampir 50% pencarum KWSP hanyalah sekitar RM2,000 sebulan.

“Kami berharap gaji minimum boleh dinaikkan secara berkala,” katanya.

Pandangan bahawa gaji tinggi boleh menyebabkan pembuangan pekerja juga tidak lagi benar, tambahnya, sebaliknya gaji tinggi boleh menjadi katalis kepada penambahan produktiviti.

Bagaimanapun, beliau mengakui wujud keperluan untuk menyemak semula kriteria B40 kerana mereka yang berada di kedudukan terbawah kumpulan itu sering terlepas pandang dalam pelaksanaan dasar.

“Kerana itu saya tak berapa gemar dengan pengguna terma B40. Saya fikir kita ada pelbagai jenis pendapatan rendah dan dengan hanya memberi tumpuan kepada B40, kita sebenarnya terlepas pandang B10, yang merupakan kumpulan pendapatan terendah,” kata Norma merujuk kepada kumpulan yang berpendapatan kurang RM1,000 sebulan seperti penduduk PPR Klang.

KWSP sedang berusaha memastikan pencarumnya berada dalam keadaan selesa selepas bersara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2019.

Berhati-hati dengan pinjaman

Norma juga memberi amaran supaya rakyat hanya menggunakan kemudahan kewangan seperti pinjaman dan kad kredit untuk menampung kekurangan wang, dan bukannya untuk berbelanja mewah.

“Kad kredit adalah salah satu sebab rakyat Malaysia berhutang. Jika ia boleh ditangani, mungkin mereka boleh menguruskan kewangan dengan lebih baik,” katanya.

“Mereka kena merancang. Jika anda tak boleh beri komitmen dan jika anda tak mampu sesuatu pinjaman, jangan pinjam,” tambahnya.

“Belanjawanku” mengandaikan seorang bujang yang menetap di Lembah Klang dan menggunakan pengangkutan awam memerlukan RM1,870 sebulan untuk hidup, manakala mereka yang memilik kenderaan memerlukan RM2,490 sebulan.

Pasangan berkahwin pula memerlukan antara RM4,420 dan RM6,620 bergantung kepada jumlah anak, manakala pasangan warga emas memerlukan RM3,000 sebulan.

Data ini adalah berdasarkan kajian dibuat antara Julai 2017 dan 2018.

Panduan itu bagaimanapun menerima kecaman yang menganggapnya tidak realistik dan tidak berasaskan realiti kehidupan rakyat.

Mempertahankan kajiannya, Norma berkata “Belanjawanku” adalah untuk kumpulan berpendapatan rendah, dan bukannya untuk profesional yang boleh berbahasa Inggeris dan menggunakan perkhidmatan seperti e-hailing dan penjagaan kesihatan swasta.

KWSP juga dalam proses membangunkan aplikasi “Belanjawanku” yang membolehkan penggunakan merekod perbelanjaan mereka.

Selain itu, SWRC juga sedang menyiapkan garis panduan perbelanjaan untuk bandar utama di Malaysia seperti Alor Setar dan Johor Bahru dan untuk Sabah dan Sarawak. Ia dijangka dilancarkan tahun depan. – 15 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen