PUTRAJAYA menyusun semula kaedah strategi komunikasinya selepas pentadbiran kerajaan baharu dikritik gagal mengendalikan beberapa isu serta gagal juga menghebahkan pencapaiannya setahun mentadbir negara.
Isu yang berbangkit kini dibincangkan bersama antara setiausaha akhbar (SUA) dan ketua unit komunikasi korporat kementerian (UKK) yang bermesyuarat hampir setiap seminggu sekali, kata sumber.
“UKK atau SUA setiap kementerian akan bawa isu masing-masing dalam mesyuarat tersebut. Kemudian mesyuarat akan kenal pasti lima isu utama dan bagaimana hendak menangani isu tersebut,” kata sumber yang pernah menyertai mesyuarat itu.
Selain perbincangan mengenai isu berbangkit, pegawai berkenaan juga didedahkan kepada latihan media antaranya melibatkan tokoh wartawan Johan Jaaffar dan Media Prima.
Pada Mac lalu, Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, A Kadir Jasin menulis di blognya menegaskan ada banyak perkara baik dan betul yang dibuat oleh pentadbiran kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) tetapi rakyat tidak tahu.
Beliau juga menegur menteri, menteri besar, ketua menteri dan timbalan menteri serta prestasi pegawai kerajaan yang dilantik untuk membantu mereka.
“Berkomunikasilah dengan lebih baik dan berkesan dengan semua peringkat dan golongan masyarakat. Pegawai khas, setiausaha akhbar dan pegawai komunikasi korporat pun tolonglah cergas sikit. Kalau bodoh, belajar. Kalau tidak tahu, tanya,” tulisnya.
Sentimen sama kemudian diulangi oleh bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Daim Zainuddin dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, setahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Kata Daim, kerajaan sudah buat banyak perubahan untuk Malaysia sejak mengambil alih Putrajaya cuma ia gagal menjelaskan kejayaan itu dengan berkesan kepada rakyat.
Seorang lagi sumber memberitahu, mesyuarat komunikasi strategik ini bermula sejak sebulan yang lalu sebagai persediaan menghadapi isu-isu tertentu berkaitan dengan kementerian.
“Tetapi saya rasa mesyuarat macam ini telah ada lebih awal lagi, cuma tidak melibatkan SUA. Kami baru terlibat dalam empat mesyuarat sahaja.
“Mungkin mereka merasakan perlu penglibatan SUA atas faktor politik. UKK fokus kementerian jadi bila buat sesuatu tindakan, tidak mengambil kira pertimbangan politk,” katanya.
Bagaimanapun kata sumber, sekiranya isu yang dijangka timbul lebih cenderung kepada isu politik walaupun melibatkan kementerian, mesyuarat akan menyerahkan perkara itu kepada Sekretariat PH.
“Semua yang dibincangkan hanya berkaitan dengan pengurusan kementerian dan kerajaan, tidak ada politik.
“Jika lima isu yang disenaraikan melibatkan politik, ia tidak akan teruskan dan akan diserahkan kepada Sekretariat PH untuk uruskan,” katanya. – 13 Ogos, 2019.
Komen