PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad menganggap pertubuhan pendidikan Cina Dong Zong rasis kerana sentiasa membantah usaha kerajaan untuk menggalakkan perpaduan.
Katanya sikap itu terserlah sejak lama seperti ketika pertubuhan itu menolak usaha menubuhkan Sekolah Wawasan yang dirancang untuk meningkatkan perpaduan kaum.
“Dong Zong ini rasis. (Dahulu) Kita buat sekolah satu kampus – Sekolah Wawasan – sekolah Cina, sekolah Tamil, dan sekolah kebangsaan di dalam satu kampus.
“Dia tak mahu (kerana) takut anak-anak dia konon bercampur dengan kaum Melayu. Jadi dia (Dong Zong) tak suka orang Melayu.
“Semua dia bantah. Tak pernah setuju dengan apa-apa pun (keputusan kerajaan),” kata beliau kepada media dalam satu majlis ramah mesra di Langkawi.
Beliau mengulas tindakan terbaru pertubuhan itu yang menggerakkan petisyan bagi menyekat pengajaran khat jawi di sekolah vernakular.
Tambah Dr Mahathir, Dong Zong kini berani menyuarakan bantahan ke atas pengajaran tulisan itu sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan yang lebih bebas namun tidak membantah sewaktu pentadbiran BN.
“Benda ini diluluskan pada tahun 2012. Waktu kerajaan terdahulu. Kenapa Dong Zong tak membantah? Sekarang ini bantah.
“Sebab sekarang ini bebas. Dulu kalau bantah masuk dalam (penjara),” jelasnya.
Tambahnya, semua dasar dan keputusan melibatkan pengajaran khat jawi itu diteliti dalam mesyuarat Kabinet terlebih dahulu tetapi tidak meliputi keseluruhan butiran perkara yang diajar.
“Semua melalui Kabinet. Tapi Kabinet punya keputusan, perbahasan itu tidak didedah kepada orang.
“Kita berbincang kalau satu-satu perkara tidak puas hati, kita bawa masuk dalam Kabinet. Tapi tiap-tiap satu perkataan nak masuk dalam Kabinet, susah lah,” jelasnya.
Tambahnya, tindakan kerajaan PH kini berbeza dengan kerajaan terdahulu yang hanya mahu “menyenangkan hati” satu-satu kaum.
“Kerajaan dahulu buat, luluskan (tulisan khat) untuk ambil hati orang Melayu. Tapi tak buat apa-apa. Itu cara dia lah.
“Dekat Cina dia cakap apa yang orang Cina suka. Dekat Melayu dia cakap apa yang orang Melayu suka Itu politik dia. Kita takkan buat (seperti itu),” katanya lagi.
Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim mengumumkan kempen itu untuk meraih sokongan daripada persatuan Cina, lembaga pendidikan, persatuan ibu bapa dan guru dan kumpulan alumni.
Beliau turut berkata, tulisan khat diajarkan sebagai medium untuk menyebarkan Islam.
Bantahan itu tetap timbul selepas kerajaan mengumumkan pengenalan pelajaran khat untuk murid Tahun Empat di sekolah vernakular itu diteruskan dengan beberapa penyesuaian.
Antara lainnya, pelajaran khat itu akan meliputi tiga halaman dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun Empat, dari enam muka surat yang dicadangkan sebelum ini.
Kabinet pada minggu lalu memutuskan semua keputusan berkaitan dasar kerajaan yang dibuat oleh pentadbiran BN perlu dapat kelulusan semula Jemaah Menteri.
Perkara itu dilakukan supaya mengelak kekecohan daripada pelaksanaan sebarang dasar kerajaan yang sebelum ini dipersetujui dan diputuskan oleh pentadbiran BN. – 12 Ogos, 2019.
Komen