Dong Zong akan lancar petisyen bantah khat


Lee Chi Leong

Usaha melancarkan petisyen itu bermula selepas kabinet memutuskan untuk meneruskan pengenalan pelajaran khat untuk murid-murid Tahun Empat di sekolah-sekolah vernakular, tetapi dengan beberapa penyesuaian, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik pada hari Khamis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 10 Ogos, 2019.

Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) akan melancarkan petisyen menentang sukatan pelajaran tulisan khat di sekolah-sekolah vernakular, walaupun Kementerian Pendidikan memberi jaminan bahawa ia tidak akan menjadi subjek peperiksaan.

Pengerusinya, Tan Tai Kim berkata kempen itu akan mendapat sokongan daripada persatuan Cina, lembaga pendidikan, persatuan ibu bapa dan guru dan kumpulan alumni.

Beliau berkata kumpulan pendidikan Tamil juga bersetuju untuk menyertai petisyen yang akan dilancarkan.

Beliau berkata petisyen itu bagi menggesa Kementerian Pendidikan hanya mengekalkan pengenalan khat bersama tulisan Cina dan Tamil untuk sukatan pelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia (BM) untuk murid Tahun Lima.

“Pelajar bukan Islam yang diperkenalkan dengan tulisan khat bukan sahaja tidak dapat diterima oleh komuniti bukan Islam bahkan ia juga melanggar Perkara 12 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa sidang akhbar hari ini.

Usaha melancarkan petisyen itu bermula selepas kabinet memutuskan untuk meneruskan pengenalan pelajaran khat untuk murid-murid Tahun Empat di sekolah-sekolah vernakular, tetapi dengan beberapa penyesuaian, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik pada hari Khamis.

Menteri pendidikan itu berkata keputusan tersebut dicapai pada mesyuarat mingguan selepas kabinet membincangkan isu bantahan terhadap kemasukan khat dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Malaysia.

Di bawah arahan kabinet baru, pelajaran khat akan meliputi tiga halaman dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun Empat, dari enam muka surat yang dicadangkan sebelum ini.

“Kabinet juga memutuskan bahawa pengenalan khat akan menjadi pilihan, dengan guru diberikan kuasa untuk memutuskan pelaksanaannya di bilik darjah masing-masing,” kata Maszlee pada sidang akhbar di Putrajaya.

Beliau berkata khat hanya satu daripada banyak topik dalam sukatan mata pelajaran BM, dan bagaimana ia diajarkan terserah kepada kreativiti guru.

“Ia (khat) ada dalam buku teks. Terserah kepada guru untuk menggunakan kreativiti mereka sendiri.

“Kami mahu menekankan bahawa kabinet telah bersetuju bahawa khat tidak akan dimasukkan dalam peperiksaan.”

Beliau menambah bahawa khat berfungsi sebagai pengantar dalam membaca tulisan Jawi.

“Kami mahu mendidik murid tentang warisan negara. Kita dapat melihat tulisan Jawi di banyak tempat, bahkan pada wang ringgit. ” – 10 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen