Khat dedah Malaysia Baharu yang rapuh


Chan Kok Leong

Satu bab dalam buku teks Tahun 5 tentang budaya Malaysia dan ada bahagian mengenai kaligrafi tiga bahasa utama di negara ini iaitu Melayu, Mandarin dan Tamil. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Ogos, 2019.

SEBAGAI pemimpin yang pernah terpilih mewakili rakyat Malaysia di lima negeri – Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Johor – selama lebih lima dekad, bukan selalu Lim Kit Siang diejek di khalayak ramai.

Kali terakhir beliau berdepan kemarahan umum ialah di Kampung Batu Bakar di Johor Baru menjelang pilihan raya umum yang lalu. Namun pada masa itu, tunjuk perasaan terhadapnya dikatakan dianjur oleh bahagian Umno yang tidak mahu Lim bertapak di tempat mereka.

Maka, apabila Lim diejek dalam acara perayaan hantu lapar di kawasan parlimennya di Iskandar Putri pada malam kelmarin, ia tentunya mengejutkan beliau.

Lim cuba meredakan tanggapan itu. Katanya, rakaman video yang tular tidak menggambarkan suasana sebenar pada majlis itu.

Katanya, keadaan di majlis itu macam biasa. Beliau juga menggesa semua pihak tidak menyebar berita yang mengelirukan orang ramai.

Dalam dua rakaman video di media sosial, Lim yang menyampaikan ucapan pada majlis itu boleh dilihat diherdik dan diejek oleh hadirin.

Mengulas perkembangan ini, Ahli Jawatankuasa Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) Ng Chai Heng berkata majoriti rakyat Malaysia tidak jelas perbezaan antara jawi dan khat.

“Kekeliruan itu kebanyakannya disebabkan laporan oleh media vernakular yang menggunakan pelbagai istilah lain untuk menjelaskan apa itu khat dan jawi,” kata Ng.

Lim Kit Siang terkejut apabila diejek dalam acara perayaan hantu lapar di kawasan parlimennya di Iskandar Putri pada malam kelmarin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2019.

Khat ialah kaligrafi Islam yang menggunakan huruf Arab sementara jawi ialah huruf Arab yang dipakai untuk menulis Bahasa Melayu sebelum ditukar kepada huruf rumi.

Isu ini bertambah buruk apabila ada pihak yang mengaitkan khat dengan Islamisasi, tambah Ng.

Menurut Ng, khat dan gaya kaligrafi lain diperkenalkan di sekolah jenis kebangsaan sejak 2015.

“Ada satu bab dalam buku teks Tahun 5 tentang budaya Malaysia dan ada bahagian mengenai kaligrafi tiga bahasa utama di negara ini – Melayu, Mandarin dan Tamil. Tiada siapa bantah ketika ia diperkenalkan pada 2015,” tegas Ng.

Sokongan Cina

Pengurus Penyelidikan Merdeka Centre Tan Seng Keat berkata, majlis pada Jumaat itu adalah kekecewaan yang bertompok-tompok atas keputusan kerajaan baharu yang berubah-ubah serta janji yang tidak tertunai sepanjang lebih setahun lalu.

“Walaupun mereka yang mengacau itu kebanyakannya konservatif Cina, yang tidak faham sepenuhnya isu khat, ini tanda kekecewaan mereka terhadap DAP,” kata Tan, yang juga belajar dalam sistem sekolah jenis kebangsaan Cina.

“Selepas PRU14, ada harapan tinggi dalam kalangan masyarakat Cina terhadap DAP dan kerajaan baharu tetapi sampai sekarang beberapa isu utama seperti pengiktirafan ke atas Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan Lynas masih tidak selesai.

“Isu lain yang mengganggu sokongan Cina ialah berkenaan kuota universiti,” katanya.

Jelas beliau DAP sekarang sedang menanggung akibat daripada sikapnya yang “terlalu populis” atas isu-isu sama sebelum ini.

“Oleh itu, konservatif Cina melihat isu khat ini sebagai satu bentuk pengkhianatan ke atas mandat mereka.”

Pada 2008, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang kini juga seorang menteri di Putrajaya membantah apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mahu meletakkan tulisan jawi pada papan tanda nama jalan.

Pensyarah sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar merasakan politik identiti kini semakin teguh selepas pilihan raya umum yang lalu.

“Apabila Lim diejek, ia menunjukkan apa perasaan penyokong DAP tentang kemelayuan yang dipaksakan ke atas mereka,” katanya.

“DAP mungkin hilang sedikit sokongan sekarang tetapi apabila rakyat nampak keputusan kerajaan menjadikan khat sebagai pilihan, mereka akan kembali sedar,” kata Tunku Mohar.

Kerja keras

Ketika DAP berdepan tekanan daripada masyarakat Cina, isu khat ini juga tidak membantu parti itu berdepan dengan masyarakat Melayu, kata pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Azmil Tayeb.

“Ini akan memarakkan lagi naratif bahawa DAP anti Melayu dan Islam dan memberi tekanan kepada PH yang semakin hilang sokongan pengundi Melayu.

“Kelam kabutnya cara kerajaan mengendalikan isu ini menunjukkan gabungan politik ini berpecah kerana nampak parti komponen bergerak masing-masing dan bukannya sebagai sebuah pakatan,” kata pensyarah sains politik itu.

Menurut Azmil DAP akan hilang lebih banyak sokongan daripada pengundi Melayu apabila masyarakat makin berbeza pendapat.

Untuk menangani masa depan, Azmil berkata Pakatan Harapan (PH) mesti bertindak dengan lebih bersatu.

“Semua parti komponen dan penyokong mereka mesti senada atas agenda bersama.

“Ya, ada banyak pembaharuan yang perlu dilakukan tetapi sesetengah reformasi itu terlalu lambat, lebih-lebih lagi yang melibatkan kedudukan Melayu dan Islam.

“PH juga perlu mengemukakan naratif balas dan menentukan wacana umum untuk menangani isu kaum dan agama yang sensitif, yang pastinya akan terus diambil kesempatan oleh pembangkang,” katanya. – 11 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen