Selepas insiden diboo, Kit Siang tetap pertahan khat


Yeoh Cheong Ee

LIM Kit Siang sekali lagi mempertahankan pengenalan khat di sekolah-sekolah vernakular, dengan menjelaskan pengenalan itu telah sedia wujud dalam buku teks Tahun 5 pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah jenis kebangsaan.

Lim berkata ini menunjukkan bahawa khat bukan subjek asing seperti yang didakwa sesetengah masyarakat Cina.

“Ia sudah wujud (dalam sukatan mata pelajaran),” katanya pada sidang akhbar pagi ini selepas beliau diejek dalam sebuah majlis perayaan Tiong Guan berikutan rancangan Kementerian Pelajaran untuk memperkenalkan khat dalam buku teks sukatan tahun empat.

Semasa sidang akhbar itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menunjukkan buku teks Tahun 5 Bahasa Malaysia yang digunakan di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina untuk menunjukkan bahawa Jawi sudah diperkenalkan dalam sukatan pelajaran.

Lim berkata Jawi tetap akan diperkenalkan jika Pakatan Harapan tidak memenangi pilihan raya umum pada 9 Mei tahun lalu, dan pelajar perlu mempelajarinya dan dinilai di dalam peperiksaan.

Beliau berkata DAP sebagai parti komponen PH telah berbincang dengan timbalan menteri pendidikan supaya beliau menjamin suara rakyat pada ketika ini supaya pelajar tidak dinilai dalam sukatan Jawi seperti yang dirancang sebelum ini oleh Kementerian Pendidikan.

Berhubung kejadian di mana beliau diboo semasa berucap di atas pentas pada sebuah acara di Johor malam tadi, beliau berkata klip itu tidak mewakili keseluruhan suasana ketika acara tersebut.

Beliau berkata suasana malam tadi tidak begitu buruk daripada kejadian yang beliau pernah hadapi dan menggesa semua pihak untuk tidak menyebarkan berita yang mengelirukan rakyat.

Dalam dua video yang tular di media sosial, Lim, yang memberi ucapan dapat dilihat diejek dan dimalukan oleh orang ramai yang menghadirinya.

Portal Malaysiakini melaporkan bahawa penganjur majlis itu mendakwa Lim dimalukan oleh penduduk tempatan kerana mereka tidak berpuas hati dengan isu khat.

Menurut laporan itu, Lim kemudian meninggalkan acara kerana terpaksa menghadiri majlis lain di kawasannya.  – 10 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen