Usaha Hishammuddin disalah erti, kata Umno Johor


SM Amin

Hishammuddin Hussein menerima pelbagai kecaman daripada pemimpin parti selepas beliau bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bulan lalu bersama beberapa pemimpin pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2019.

UMNO Johor kesal kerana usaha Hishammuddin Hussein untuk membantu memulihkan parti disalah erti sehingga digelar sebagai pengkhianat.

Pengerusi Umno Johor Hasni Mohammad berkata, pergerakan itu kesal apabila usaha bekas naib presiden parti itu mendapat tanggapan salah, hanya kerana “tidak sealiran” dengan pemimpin lain.

“Kita faham bagaimana perasaan beliau yang sedang melakukan apa sahaja untuk kebaikan dan masa depan parti, akhirnya begitu tanggapan orang.

“Saya percaya kawan-kawan saya di Johor ini turut merasa kesal keadaan seumpama itu berlaku,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sembrong di Johor hari ini.

Hishammuddin menerima pelbagai kecaman daripada pemimpin parti selepas beliau bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bulan lalu bersama beberapa pemimpin pembangkang.

Umno mengumumkan, Hishammuddin tidak mewakili parti dalam pertemuan itu.

Bekas menteri itu turut menjadi sasaran serangan pemimpin parti yang menuduhnya cuba berunding dengan Dr Mahathir untuk menyelamatkan diri daripada tuduhan mahkamah.

Satu kenyataan keras juga muncul daripada veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu agar tindakan tegas dikenakan terhadap “barua” yang tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti.

Tegas Tengku Razaleigh, kumpulan itu tidak boleh dibiarkan bergerak bebas dalam parti kerana akan merencatkan usaha untuk memulih dan memperkukuhkan parti yang sedang dibuat ketika ini.

Mengulas perkara itu, Hasni berkata, pertelagahan seperti itu perlu dielakkan kerana ia akan menjejaskan proses pemulihan dan pengukuhan Umno itu sendiri.

Katanya Umno pada waktu ini tidak memerlukan watak pendekar untuk menyerang sesama sendiri dan mencetus pertelagahan.

“Waktu ini kita tidak perlukan pendekar Mustar yang berpencak sesama sendiri. Itu yang terkeluar perkataan barua dan sebagainya.

“Dalam keadaan ini, buat apa kita hendak bertelagah sesama kita. Sekarang ini adalah masa untuk kita beri harapan baharu kepada rakyat,” kata Hasni.

Mesyuarat itu antara lain dihadiri 35 ketua bahagian, sembilan ahli Parlimen dan 20 orang ketua dari setiap sayap Umno, yang diseru oleh Hasni agar menyokong Hishammuddin.

“Walaupun Hisham diserang, dilabel dengan gelaran dan nama, jangan kita lari daripada memberikan sokongan sepenuhnya terhadap kepimpinan kita.

Namun kehadiran begitu ramai pemimpin Umno Johor itu tidak harus disalah anggap, katanya.

“Hadirnya ketua-ketua bahagian dari dalam dan luar Johor ini jangan pula dianggap sesuatu yang tidak wajar, ingin menunjuk kekuatan dan tidak selari dengan selera pemimpin tertentu,” katanya. – 9 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen