Pencenkan barua dalam Umno, kata Ku Li


SM Amin

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata kumpulan itu tidak boleh dibiarkan bergerak bebas dalam parti kerana akan merencatkan usaha untuk memulih dan memperkukuhkan parti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2019.

UMNO perlu bertindak tegas terhadap pemimpin dan ahli parti yang tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti, kata pengerusi jemaah penasihat parti itu Tengku Razaleigh Hamzah.

Tegas Tengku Razaleigh, kumpulan itu tidak boleh dibiarkan bergerak bebas dalam parti kerana akan merencatkan usaha untuk memulih dan memperkukuhkan parti yang sedang dibuat ketika ini.

“Orang yang hendak lari, tidak boleh lagi berkhidmat kepada parti, pencenkanlah dia. Kita tidak mahu mereka jadi duri dalam daging. 

“Kita tidak mahu ada barua-barua dalam parti. PAS sekarang bersama dengan kita jadi tidak manis ada barua dalam parti kita,” katanya kepada ahli parti di Bagan Datuk hari ini.

Beliau dipercayai merujuk kepada tindakan bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein yang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Pertemuan dengan pemimpin pembangkang itu dipercayai bagi menyatakan sokongan supaya Dr. Mahathir menghabiskan penggalnya sebagai perdana menteri.

Turut hadir di pertemuan itu adalah Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Ketua Whip GPS Fadillah Yusof.

Umno tidak merestui pertemuan tersebut dan menegaskan, Hishammuddin tidak mewakili parti itu dalam pertemuan tersebut.

Dalam ucapannya, Tengku Razaleigh turut mengingatkan individu yang terlibat supaya tidak membiarkan diri mereka diperalatkan oleh pihak lain.

Beliau turut mengingatkan, pemimpin parti tidak seharusnya membelakangi ketua dan berunding dengan parti yang lebih kecil semata-mata untuk kembali berkuasa.

“Saya hendak menasihatkan supaya tidak memperalatkan parti dengan menjadi tali barut orang lain. Atas nama Umno bercakap dengan orang lain. 

Janganlah jadi terlampau bodoh kerana kita sudah hilang kuasa. Janganlah mereka keterlaluan sangat seolah-oleh kita tidak ada pemimpin. Kenapa hendak jual diri sana sini? 

“Kita ada parti yang kuat, kenapa hendak pergi ke parti yang kecil? Saya rasa parti kecil itu tidak akan kekal lama,” ujarnya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian Bagan Datuk.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika diminta mengulas pertemuan yang tidak diresetui itu berkata, beliau menyerahkan kes tersebut untuk disiasat Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Apandi Ali.

“Kita akan serahkan perkara ini kepada pengerusi Lembaga Disiplin untuk membuat penyelidikan, bukan hanya berdasarkan kepada laporan atau kenyataan. 

“Penyelidikan ini bukan sahaja terhadap individu dalam kepimpinan Umno tetapi di semua peringkat,” katanya kepada petugas media. – 4 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen