Islam pengampu


Hadri Shah

Ketika matahari terhempas di horizon dan langit koyak rabak, mereka bilang ada golongan mulutnya sentiasa basah berbicara agama akan menyelamatkan sekalian umat. Siapakah mereka? Apa yang mereka lakukan? Yang kental melawan penindasan atau yang sedang asyik khayal menabur pujian?

WALAUPUN sebenarnya Islam itu “satu” saja, namun dek kerja label-melabel (oleh kalangan Muslim sendiri) menyeronokkan, Islam secara organiknya terpecah kepada beberapa golongan.

Kerja melabel ini bukanlah disebabkan proses meraikan. Sebaliknya, kerana perbezaan yang dibenci. Asalkan watak, sikap atau gagasan pemikiran berlainan sedikit daripada ajaran tok guru sendiri, jenama atau label “Islam dot dot dot” pantas diberi.

Lalu wujudnya label seperti Islam liberal, Islam sekular, Islam kiri, dan juga Islam PAS.

Kerja label-melabel sebegini memang menghiburkan.

Bertambah lucu apabila masing-masing dengan tersendirinya memegang kebenaran terasli. Paling syahdu, mereka bertempik siang malam Islam acuan siapa lebih dekat dengan Islam bawaan Nabi.

Pun begitu, dalam banyak-banyak label “Islam sekian-sekian” yang wujud hari ini, ada satu kelompok yang sudah lama ada tetapi belum dilabelkan.

Barangkali kerana tidak perasan atau hidup dalam penafian atau bimbang diterajang masuk ke dalam neraka membuatkan kreativiti label-melabel antara Melayu Islam ke atas golongan ini tidak diwar-warkan.

Selamat berkenalan dengan kelompok Islam pengampu – golongan yang syok mengampu, memuja muji kelas pemerintah.

Dari zaman Umno sehingga zaman “tinggal harapan”, teks dan bacaan khutbah sejenis mengampu tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Begitulah khutbahnya setiap kali digemakan dari atas mimbar mewah.

Di awal sesi khutbah, bersama tongkat di tangan dan suara bergema di corong, mereka memesan supaya kita yang di bawah ini tidak tidur, tidak boleh melewati laman-laman sosial di telefon pintar, tidak boleh bercakap-cakap ketika khutbah dibacakan kerana kelak tak diizinkan pahala tuhan.

Tetapi mereka paksa kita mendengar khutbah maha bosan. Mereka paksa kita dengar puji-pujian melambung pemerintah begitu begini; sedangkan dunia di luar masjid penuh haprak

Bila kali terakhir tuan-tuan mendengar lantangnya si khatib berbicara soal dosa kemiskinan?

Bila kali terakhir darah kita mendidih saat khutbah membahaskan jurang kelas kaya dan miskin?

Bila kali terakhir khutbah menyeru perlawanan mempertahankan alam sekitar saat kapitalis dan negara buas merogol bukit, laut dan udara?

Bila tuan-tuan? Bila?

Kalau umat hidup miskin melarat kerana korupnya sistem hidup, khatib menyuruh kita bersabar. Tanpa segan silu, dia mencandu si miskin supaya kekal beramanah, agar bersyukur dengan gaji minimum seciput yang diterima pada setiap hujung bulan.

Penulis teks dan khatib barangkali tidak peduli adanya ramai anak-anak yang tidak mampu bersekolah, tidak mempunyai akses makanan sihat dan menjalani hidup dalam keadaan yang tidak selamat, berpunca dari setan kemiskinan.

Dan kalau pun mereka berkhutbah mengenai penjagaan alam, ia hanyalah seruan seputar membuang sampah di tempatnya dan pentingnya tidak membazir air paip masjid. Soal hukum negara dan dasar-dasarnya yang membenarkan kapitalis membuas atas nama kemajuan dibungkam, disimpan dalam serban dan kocek jubah.

Yang mereka gemar tekankan bertahan lamanya ialah kewajiban Muslim mentaati kelas pemerintah.

Mereka ini? – Islam pengampu – menyuruh kita taat senantiasa kerana itulah yang disuruh agama. Agama, kata Islam oengampu, menyuruh umat tunduk kepada kelas pemerintah kerana ada dalam kalangan mereka yang bertanggungjawab menjaga kemuliaan agama.

Mereka membayangkan kecelaruan apabila rakyat mula mempertikai keyakinan mereka terhadap institusi pemerintahan.

Akhirnya, jemaah yang dilarang bersembang, dilarang itu dan ini saat khutbah bergebang langsung tunduk tersengguk-sengguk. Hati mereka malap. Pemikiran mereka terus mandul. Mereka kekal taat setelah dimanterakan pesan-pesan agama.

Tidak ada yang mempesonakan tentang Islam pengampu selain menjadi benteng keras status quo.

Apa perlu kita lakukan sekarang?

Tiada apa-apa.

Biarkan Islam pengampu terus mengampu. Biarkan jemaah serta umat keseluruhan mabuk dicandu.

Sampai suatu masa, lena yang panjang akan tersedar. Akan ada mimpi negeri yang membangunkan. Akan ada cahaya terpancar mencerahkan.

Saat itu, si Islam pengampu tercengang melihat berlalunya pergi mereka yang tercerahkan.

Kerana pada ketika itu, mereka yang tersedar tahu agama tidak tumbuh kerana pujian.

Bahkan ia tumbuh manis kerana perlawanan. – 9 Ogos, 2019.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen