MOHAMAD Hashim mendengar mengenai kontroversi yang menyelubungi pendakwah terkenal Dr Zakir Naik dan semalam beliau mahu melihat sendiri mengapa wujud desakan demikian ke atas pendakwah berkenaan.
“Saya dengar mengenai kontroversi terhadap beliau tetapi selepas mendengar sendiri ceramah hari ini, saya tidak nampak apa yang menjadi masalah,” kata penjawat awam berusia 40 tahun itu.
“Saya benar-benar tidak nampak apa yang tidak kena. Apa yang beliau katakan tidak menampakkan akan menyebabkan orang tidak selesa,” kata Hashim pada ceramah Dr Zakir bertajuk ‘Misconceptions about Islam’ (Salah faham mengenai Islam) di Kompleks Kota Darul Naim.
Hashim tidak sependapat dengan segelintir pihak bahawa Zakir perlu meninggalkan Malaysia kerana cara beliau menyampaikan dakwah membawa perpecahan antara orang Islam dan bukan Islam.
Beliau merupakan antara ratusan yang hadir pada tazkirah pagi oleh pendakwahkelahiran India itu yang kini dalam sesi ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan.
Ia merupakan siri ceramah terbaharu Zakir sejak menjadikan Malaysia sebagai tempat tinggalnya selepas India membatalkan pasportnya dan gagal dalam percubaan untuk mengekstradisinya untuk berdepan dakwaan terlibat dengan pengganas dan pengubahan wang haram.
Ceramah di Kelantan bermula seminggu selepas India gagal buat kali ketiga untuk memohon Interpol mengeluarkan notis merah terhadap Zakir, yang bermakna Zakir dikehendaki di negara asalnya.

Tanpa notis merah ini, kerajaan Malaysia berkata mereka tidak dapat menghantar Zakir, yang merupakan pemastautin tetap di Malaysia, pulang ke negara asal.
Sejurus selepas itu, surat terbuka oleh penulis Anas Zubedy tersebar, yang menggesa Zakir untuk meninggalkan Malaysia secara sukarela.
Anas menyatakan bahawa dialog Zakir, yang mana beliau membuat perbandingan agama, adalah tidak sesuai di Malaysia kerana penduduk tempatan di negara ini tidak terdeah dengan debat sedemikian dan akan salah tafsir.
Zakir turut didakwa menghina agama Hindu dan Kristian dalam ceramahnya sebelum ini dengan membuat perbandingan dan persamaan dengan Islam.
Tema yang dibawa dalam perbandingan ini adalah bahawa agama Hindu dan Kristian berkongsi ajaran yang sama kepada Islam seperti kepercayaan pada satu Tuhan yang benar.
Beliau juga menekankan apa yang didakwanya tidak konsisten dalam agama berkenaan dengan kitab suci mereka, Vedas (Hindu) dan Injil (Kristian) dan bagaimana agama diamalkan oleh penganut mereka.
Namun dalam ceramah di Kelantan, Zakir tidak membuat perbandingan itu sebagaimana yang diketengahkan pada ceramah sebelum ini dan hanya terikat kepada Islam dan masalah yang dihadapi oleh umat Islam.
Nik Ahmad Fidu’ul percaya kontroversi yang menyelubungi pendakwah berkenaan hanya dibesar-besarkan kerana pengkritiknya tidak mendengar ceramah beliau.

“Orang yang tidak suka Zakir hanya mencari alasan cetek untuk menyerangnya,” kata eksekutif jualan berusia 28 tahun itu.
“Ia hanya untuk memenuhi andaian mereka. Sedangkan beliau tidak nampak ekstrem. Beliau bercakap berdasarkan fakta,” kata Nik Ahmad.
Sementara itu rakan Nik Ahmad, Mohamad Nafis Mohamad berkata, Zakir berpengetahuan mengenai aama lain dan langsung tidak menghina.
“Saya merasakan pengkritiknya hanya melihat sedikit daripada keratan ceramahnya tanpa melihat gambaran sebenar,” kata Nafis, 27.
Nik Safiah Daud, yang turut mengikuti ceramah selama tiga jam itu tidak setuju dengan dakwaan Zakir seorang pelampau yang mengkritik agama lain.
“Beliau tidak minta orang untuk tinggalkan agama mereka dan masuk Islam. Beliau hanya menjelaskan apa itu Islam.”
Rakannya, Nor Rabiaton Abdul Karim turut memberi pandangan yang sama.
“Selagi tiada bukti beliau memecahbelahkan rakyat Malaysia, saya rasa kita tidak perlu paksa beliau tinggalkan Malaysia. Beliau juga berhak untuk tinggal di sini.” – 9 Ogos, 2019.
Komen