Buku Mustafa Akyol bertentangan dengan norma Malaysia, kata TPM


Bede Hong

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata buku Mustafa Akyol mempunyai terlalu banyak fakta yang tidak bersesuaian dengan norma kehidupan di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2017.

BUKU penulis Turki yang diharamkan oleh kerajaan Malaysia baru-baru ini didapati bertentangan dengan norma kehidupan masyarakat di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi. 

“Buku yang kita haramkan itu, daripada penulis luar negara, didapati bahawa unsur-unsur di dalam buku berkenaan terlalu banyak fakta yang tidak bersesuaian dengan norma kehidupan di negara kita.

“Ia juga ada kaitan dengan soal keselamatan jika pengedarannya terus disebarkan secara meluas.

“Jadi kementerian dalam negeri mengambil tindakan demi kepentingan rakyat dan negara kita,” kata Zahid kepada wartawan, hari ini.

Beliau merujuk kepada buku Mustafa bertajuk Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty dan terjemahannya ke dalam Bahasa Melayu, Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan yang diterbitkan oleh Islamic Reinassance Front (IRF).

Buku itu diharamkan pada 6 September dan warta pengharamannya digazetkan pada 28 September lalu, sehari selepas Mustafa disiasat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) atas dakwaan memberi syarahan agama tanpa tauliah.

Mustafa berada di Kuala Lumpur minggu lalu atas jemputan IRF untuk menyampaikan kuliah berkenaan isu murtad dan demokrasi dalam Islam serta memperkatakan buku terbarunya, “The Islamic Jesus: How the King of the Jews Became a Prophet of the Muslims”.

Menurut Jawi, siasatan terhadap Mustafa dan IRF dibuat hasil aduan orang ramai berhubung diskusi meja bulat pada Ahad bertajuk Does Freedom of Conscience Open the Floodgate to Apostasy? (Apakah kebebasan nurani membuka jalan kepada murtad?).

Zahid menjelaskan pengharaman buku tidak dibuat dengan sewenang-wenangnya dan hanya dilakukan setelah kementeriannya menimbang beberapa perkara.

“Pertama ia dibuat setelah kementerian  mendapat maklum balas daripada orang ramai yang memberi pandangan sesuatu buku itu tidak sesuai. Kedua,  buku itu dinilai isi kandungannya berdasarkan kepada permit daripada Kementerian Dalam Negeri atau ISBN dan ketiga, tentunya kita lakukan siasatan terhadap ketidaksesuaian sesuatu buku itu,” katanya.

Zahid juga menjelaskan buku Mustafa dan buku-buku lain berkaitan dengan Islam yang diharamkan kerana gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan Kementerian Dalam Negeri.

Pengharaman itu dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984. 

Antara buku yang diharamkan melalui warta pada tarikh yang sama termasuk buku Faisal Tehrani bertajuk “Aku __, Maka Aku Ada!” terbitan Dubook Press Sdn Bhd pada 2015, menjadikan buku penulis prolifik itu yang ketujuh yang diharamkan oleh KDN.

Dua buku terbitan kumpulan pemikir IRF bertajuk Wacana Pemikiran Reformis (Jilid I) dan Wacana Pemikiran Reformis (Jilid II) juga diharamkan.

Selain itu, KDN mengharamkan 10 terjemahan Al-Quran, termasuk empat daripada terjemahan terkenal oleh perterjemah terkemuka, Abdullah Yusuf Ali yang digunakan meluas di negara-negara Islam di serata dunia, termasuk Malaysia sejak bertahun-tahun lamanya. – 6 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen