UMNO tidak bersetuju dengan tindakan pemimpin Ketua Baju Merah Jamal Md Yunos semalam apabila dia memecahkan 10 karton botol bir di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) bagi membantah pesta arak.
“Kita tidak setuju dengan tindakan dia,” kata Naib Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi kepada wartawan di Kuala Lumpur hari ini.
Jamal dan tujuh lelaki lain ditahan awal pagi hari ini susulan gimik terbarunya itu semalam atas pertuduhan menghadiri perhimpunan haram dan menganggu ketenteraman awam dan dijadualkan diperintah reman hari ini di Mahkamah Shah Alam.
“Dia juga adalah pengerusi beberapa NGO,” kata Zahid.
“Ya dia salah seorang ketua bahagian kami, tetapi dia hanyalah salah seorang daripada 191 ketua bahagian.”
“190 yang lain tak pecahkan apa-apa,” tambahnya.
Selepas tindakan Jamal semalam, polis Shah Alam menerima laporan daripada seorang pengawal keselamatan ibu pejabat kerajaan negeri itu. Satu siasatan dilancarkan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana menghadiri perhimpunan haram dan Seksyen 268 kerana menganggu ketenteraman awam.
Jamal memberitahu The Malaysian Insight semalam yang dia mahu menyerahkan karton bir itu kepada Menteri Besar Mohamed Azmin Ali dan ahli exconya dan menyuruh mereka mabuk arak di rumah atau pejabat sendiri, bukannya di tempat lain.
“Kami membantah kerajaan negeri tidak seharusnya membenarkan sebarang bentuk pesta yang ada kaitan dengan arak kerana ini akan merosakkan pemikiran anak-anak muda di Selangor.
“Kami datang sini untuk serahkan arak kepada mereka supaya kalau mereka hendak mabuk, mereka boleh mabuk di pejabat atau di rumah, tetapi jangan di tempat lain,” katanya. – 6 Oktober, 2017.
Komen