Tamat kontrak awal, Syed Razlan dakwa jadi mangsa keadaan


Nabihah Hamid

KPM dalam satu kenyataan berkata kontrak Syed Razlan Syed Putra Jamalullail sebagai pengerusi Lembaga Pengarah UPM dipendekkan dibuat atas pertimbangan profesional demi kepentingan universiti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2019.

SYED Razlan Syed Putra Jamalullail mendakwa beliau menjadi mangsa keadaan selepas kontraknya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) ditamatkan lebih awal, tidak sampai setahun setelah dilantik.

Beliau menjelaskan tindakannya mengarahkan dua pegawai kanan UPM bercuti adalah atas arahan Bahagian Gorvenan IPTA di Jabatan Pendidikan Tinggi.

“Kalau ikut ia tindakan berdasarkan surat daripada pejabat Bahagian Governan. Kita memang ada surat itu kerana tanpa surat itu saya nak ambil tindakan, tidak boleh.

“Boleh lihat surat itu sebagai bukti,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Jelas Syed Razlan, sebelum melaksanakan arahan untuk ambil tindakan terhadap pendaftar dan penasihat undang-undang UPM, beliau cuba untuk berjumpa Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik namun gagal.

“Nak jumpa pun tak dapat. Bila dapat surat aduan dan arahan diterima, saya nak jumpa nak beritahu menteri tetapi tidak dapat.

“Saya rasa saya nak jumpa yang lagi tinggi lagi senang,” katanya.

Minggu lalu, The Malaysian Insight melaporkan Syed Razlan ditamatkan perkhidmatannya melalui sepucuk surat menteri bertarikh 17 Julai dan berkuat kuasa 30 hari daripada tarikh surat itu.

Syed Razlan Syed Putra Jamalullail mendakwa beliau menjadi mangsa keadaan selepas kontraknya sebagai pengerusi Lembaga Pengarah UPM ditamatkan lebih awal, tidak sampai setahun selepas dilantik. – Gambar Facebook, 8 Ogos, 2019.

Beliau digantikan dengan bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Ghauth Jasmon berkuat kuasa 19 Ogos ini.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan pada Ahad 4 Ogos mengesahkan laporan The Malaysian Insight. Ia menyebut pemendekan kontrak Syed Razlan dibuat “atas pertimbangan profesional demi kepentingan universiti secara keseluruhan.”

Pada Isnin, tiga persatuan dan kesatuan utama UPM meminta semua pihak menerima keputusan Maszlee memendekkan kontrak Syed Razlan.

Kesatuan Kakitangan Am (Kepertama), Persatuan Pentadbir (PPUPM) dan Persatuan Pegawai Akademik (PPAUPM) dalam satu kenyataan berkata tindakan Syed Razlan mencutikan pendaftar dan penasihat undang-undang universiti sebagai tidak wajar.

Menurut Syed Razlan, beliau sampai hari ini masih tertanya apa sebab kontrak perkhidmatannya, yang sepatutnya berakhir Oktober 2021, ditamatkan awal.

“Saya faham ini hak menteri. Tetapi dengan jawatan begitu dan bermaruah… yang ada integriti, kalau nak ditamatkan (kena) cara berhemah.

“Kalau saya salah, saya reda ditamatkan. Kalau pelantikan selama tiga tahun, patut ditamatkan jika saya salah, tetapi ini apa salah saya,” katanya.

Syed Razlan berkata beliau hanya tahu kontraknya ditamatkan melalui surat. Katanya, beliau tidak dipanggil oleh Maszlee untuk bersemuka memaklumkan pemecatannya.

“Panggillah saya dulu,” katanya.

Mengulas kenyataan Kementerian Pendidikan bahawa beliau diganti untuk memastikan UPM capai sasaran jadi 100 universiti terbaik dunia dalam masa dua tahun ini, Syed Razlan berkata cita-cita itu bukan tugas beliau seorang semata-mata.

Katanya, usaha itu perlu diselaraskan bersama semua pihak pengurusan universiti.

“Peranan kedudukan ranking adalah kerja utama naib canselor, pengurusan pengerusi dan LPU. Tugas LPU memantau pengurusan supaya tidak lari dari landasan dan mengikut cara-cara governans yang betul.

“Kalau menteri nak laksanakan ini, kenalah lakukan kepada semua universiti dan kementerian seharusnya konsisten. Saya sokong,” katanya.

UPM kini universiti kedua terbaik di Malaysia, berdasarkan kedudukan 159 dalam QS World University bagi 2019/2020.

Bagi ranking Times Higher Education, UPM berada di segmen 801-1000 universiti dunia. – 10 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen