Pengerusi lembaga pengarah UPM diganti untuk ranking lebih tinggi, kata KPM


Universiti Putra Malaysia (UPM) tersenarai pada ranking ke-128 universiti terbaik Asia Pasifik pada 2017. – Gambar UPM, 4 Ogos, 2019.

KONTRAK Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Syed Razlan Syed Putra Jamalullail ditamatkan lebih awal atas sebab ‘pertimbangan profesional, kata Kementerian Pendidikan.

Tempat beliau digantikan oleh Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Ghauth Jasmon adalah sebahagian usaha membantu UPM mencapai sasaran 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh dua tahun, kata kementerian itu.

“Pelantikan Ghauth Jasmon merupakan sebahagian sasaran UPM untuk menjadi antara 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh dua tahun.

“Kementerian berpandangan bahawa beliau merupakan tokoh paling sesuai untuk memegang jawatan ini berdasarkan reputasi baik beliau dalam aspek pengurusan dan pentabdiran universti termasuk kejayaan sebagai Naib Canselor UM.

“Keputusan ini diambil setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak di UPM termasuk akar umbi di universiti”

Kementerian menjawab laporan The Malaysian Insight bahawa Syed Razlan ditamatkan tugas lebih awal ketika beliau baru memulakan siasatan berhubung salah laku pengurusan tertinggi UPM.

Syed Razlan, yang baru dilantik sebagai pengerusi lembaga UPM pada Oktober lalu bagi tempoh tiga tahun, diberikan surat tamat kontrak bertarikh 17 Julai yang ditandatangani oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Kementerian bagaimanapun tidak menyebut tentang siasatan itu.

Ditanya mengenai siasatan dalaman yang dijalankannya, Syed Razlan berkata beliau menjalankan tugas berdasarkan arahan yang diberikan kepadanya oleh Jabatan Pendidikan Tinggi. 

Kementerian hari ini mengambil keputusan menamatkan kontrak Syed Razlan atas pertimbangan profesional demi kepentingan UPM.

“Kementerian menghargai sumbangan Syed Razlan dan berterima kasih atas perkhidmatannya.”

Gauth akan mula mengambil alih tugas Syed Razlan pada 19 Ogos.

UPM kini berada pada kedudukan 202 universiti terbaik dunia mengikut QS World University Rankings.

Bagi ranking Times Higher Education World University Rankings 2019, UPM berada pada kedudukan segmen 801-1000. – 4 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen