PENGERUSI Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Syed Razlan Syed Putra Jamalullail ditamatkan perkhidmatannya, tidak sampai setahun selepas dilantik, atas sebab yang tidak dijelaskan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
The Malaysian Insight difahamkan tempoh perkhidmatan Syed Razlan dipendekkan ketika beliau sedang menyiasat dakwaan salah laku melibatkan pihak pengurusan tertinggi universiti.
Pemecatan Syed Razlan dimaklumkan kepada beliau melalui sepucuk surat bertarikh 17 Julai, yang ditandatangani oleh Maszlee.
Surat berkenaan, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight, tidak menyatakan sebarang alasan sebaliknya hanya menyebut kontrak pelantikan Syed Razlan berkuat kuasa sehingga 16 Ogos ini, iaitu 30 hari daripada tarikh surat.
Syed Razlan akan diganti oleh bekas naib canselor Universiti Malaya (UM) Ghauth Jasmon berkuat kuasa 19 Ogos ini. Surat pelantikannya yang ditandatangani Maszlee, juga bertarikh 17 Julai, turut dilihat oleh The Malaysian Insight.
Dalam satu pertemuan dengan The Malaysian Insight, Syed Razlan mengesahkan menerima surat penamatan kontrak tetapi bertekad akan menyelesaikan tugasnya.
“Saya berazam untuk menamatkan apa yang saya mulakan (siasatan) demi kecemerlangan UPM di masa hadapan,” katanya.
Beliau berharap keputusan Maszlee itu bukan disebabkan siasatan dalaman dan langkah pembaharuan yang sedang dilakukannya di UPM.
The Malaysian Insight sudah menghubungi pejabat Maszlee tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

Beberapa sumber yang maklum mengenai siasatan dalaman di UPM membayangkan kepada The Malaysian Insight bahawa Maszlee tidak diberikan gambaran yang tepat sebelum membuat keputusan memecat Syed Razlan.
Syed Razlan juga memberitahu surat memendekkan tempoh perkhidmatannya dikeluarkan tanpa beliau dimaklumkan mengenainya terlebih dahulu dan tiada sebarang perbincangan dengan Maszlee.
“Walaupun kuasa untuk pendekkan kontrak pengerusi lembaga pengarah universiti adalah kuasa menteri, adalah lebih elok dan berhemah jika satu pertemuan diadakan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kalau tidak orang ingat saya ada buat salah sebab orang tidak tahu isi kandungan surat pendekkan kontrak saya itu,” katanya.
Syed Razlan dilantik ke jawatan itu pada Oktober 2018 bagi tempoh tiga tahun berakhir pada 2021.
Ditanya mengenai siasatan dalaman yang dijalankannya, Syed Razlan berkata beliau menjalankan tugas berdasarkan arahan yang diberikan kepadanya oleh Jabatan Pendidikan Tinggi.
“Saya cuma menjalankan tugas yang diarahkan oleh Bahagian Governan IPTA berdasarkan satu aduan yang dibuat kepada jabatan itu pada April lalu,” katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut siasatan tersebut.

Tahun lalu, sebagai sebahagian daripada usaha membawa perubahan ke IPTA, Maszlee memecat pengerusi lembaga pengarah beberapa universiti awam, termasuk UPM.
Universiti lain yang terlibat antaranya ialah Universiti Malaysia Sabah, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Sultan Zainal Abidin, dan Universiti Sains Malaysia.
Maszlee ketika itu mempertahankan tindakannya dengan alasan mereka yang dipecat adalah lantikan politik oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), selain mahu memastikan proses reformasi institusi yang dibawa Pakatan Harapan tidak terganggu.
Tindakan beliau bagaimanapun dikritik oleh badan akademik Gabungan Majlis Presiden Dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia (Gakum) yang menyifatkan keputusan menteri itu tidak adil dan tergesa-gesa.
Gakum berpendapat sebahagian besar daripada mereka adalah ahli akademik yang langsung tidak terbabit dalam politik. – 3 Ogos, 2019.
Komen