Isu remaja di Sabak Bernam yang berhenti sekolah untuk menyara keluarga dengan menjadi nelayan adalah isu terpencil, menurut Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata ramai remaja berhenti sekolah untuk membantu keluarga di situ memandangkan Sabak Bernam satu daerah termiskin di Selangor.
“Ini kes terpencil, (nelayan bawah umur) menyara keluarga mungkin kerana ibu bapa sakit atau uzur dan terpaksa berhenti sekolah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Katanya, beliau tetap mengambil berat isu tersebut kerana tidak adil bagi remaja di bawah usia 18 tahun itu mengambil peranan mencari nafkah untuk keluarga.
Jelasnya, bantuan akan diberikan kepada remaja itu melalui Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan juga melalui Jabatan Perikanan Negara untuk memberi latihan.
“PNK Sungai Besar akan proses kelayakan untuk Bantuan Sara Hidup, subsidi minyak dan pengisytiharan apabila lesen sampan beliau lulus,” katanya.
Menurutnya Pejabat Perikanan Daerah Sabak Bernam telahpun menyenaraikan nama individu itu untuk ditemuduga bagi pemilikan lesen sampan.
Tambahnya, nelayan juga boleh berhubung dengan persatuan masing-masing bagi mendapatkan sebarang bantuan khas yang disalurkan melalui Yayasan Nelayan Malaysian (Yanem).
“Persatuan nelayan perlu kenal pasti komuniti nelayan yang susah (dalam aspek kewangan). Lihat kebajikan yang perlu diberikan dan biarkan anak-anak tamatkan persekolahan dengan sempurna sebelum menjadi nelayan.
“Pihak persatuan akan kenal pasti mereka dan bantuan boleh diberikan dibawah Yanem,” tambah Adun Permatang Pasir itu.
Katanya buat masa ini, nelayan terbabit menerima elaun sara hidup secara bulanan diberikan oleh kerajaan sebanyak RM200.
Mereka juga layak mendapat Skim Insurans Nelayan Berkelompok untuk nelayan dengan hanya membayar premium RM100 setahun.
Nasib anak nelayan pantai di kawasan daerah Sabak Bernam yang terpaksa berhenti sekolah untuk menangkap ikan bagi menyara keluarga itu menjadi sorotan The Malaysian Insight minggu lalu.
Mereka terpaksa berbuat demikian atas faktor kesempitan kewangan keluarga dan berhenti sekolah seawal usia 13 hingga 17 tahun.
Adun Sungai Panjang, Mohd Imran Tamrin turut mengakui bahawa remaja berkenaan terpaksa berbuat demikian untuk membantu keluarga masing-masing.
Jelasnya, remaja berkenaan memperoleh gaji sama dengan nelayan lain dan setimpal dengan tugas yang dilakukan semasa menangkap ikan.
Golongan itu tidak dipaksa atau dikerah untuk bekerja menangkap ikan, katanya. – 5 Ogos, 2019.
Komen