Kerana miskin, anak nelayan berhenti sekolah ikut jejak langkah ayah


Zaim Ibrahim

RAMAI anak nelayan pantai di kawasan Sungai Besar di Sabak Bernam, Selangor berhenti sekolah saban tahun untuk turut menangkap ikan bagi menyara keluarga.

Ada yang meninggalkan sekolah selepas baru naik ke sekolah menengah kerana keadaan kewangan keluarga yang memaksa.

Mereka menyertai kira-kira 100 nelayan yang berpangkalan di jeti nelayan Sungai Haji Dorani, Sungai Nibong, Sungai Nipah, Sungai Besar, dan Bagan Nakhoda Omar.

Seorang daripadanya, Azrul Nizam Saidek, 23, memberitahu The Malaysian Insight, beliau berhenti sekolah ketika Tingkatan Satu untuk menjadi nelayan bersama bapa saudaranya. 

Ketika ditemui di jeti nelayan Kampung Sungai Haji Dorani, Azrul berkata pada awalnya tidak pernah terlintas di fikirannya untuk berhenti sekolah tetapi terpaksa melakukannya demi keluarga.

“Saya berhenti sekolah waktu umur 13. Faktor kewangan menyebabkan saya perlu berhenti dan bantu keluarga saya.

“Waktu itu, bapa saya diserang penyakit asma. Beliau adalah tulang belakang keluarga tetapi beliau tidak boleh lagi melakukan sebarang pekerjaan. 

“Jadi saya rasa tak mahu dia terbeban, saya nekad untuk belajar menjadi nelayan,” kata Azrul yang meraih pendapatan antara RM60 hingga RM100 sehari.

Ia bergantung kepada hasil tangkapan setiap hari, lazimnya ikan gelama, duri, bawal dan ketam yang akan dikongsi bersama pemilik bot.

Muhammad Rozzaimi Muhammad Nasron mula turun ke laut bersama bapanya sejak tiga tahun lepas.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin,1 Ogos, 2019. 

Cemburu dengan rakan 

Kini beliau menyesali keputusan itu kerana tidak lagi berpeluang untuk kembali ke sekolah.

“Saya cemburu waktu tengok kawan-kawan dekat sekolah ambil keputusan peperiksaan. Saya terfikir kenapa saya tak dapat rasa seperti itu.

“Mungkin bukan rezeki saya (melanjutkan pelajaran), rezeki saya dekat nelayan. Pernah juga terfikir untuk masuk sekolah kembali ketika umur 16 tapi dah lambat,” jelasnya.

Beliau kini mengintai peluang untuk mencuba nasib dengan melakukan kerja lain untuk meningkatkan pendapatannya.

“Setakat ini fikir jadi nelayan lah, kalau ada rezeki lain tengok la macam mana,” kata anak muda itu.

Kampung Sungai Haji Dorani merupakan salah satu perkampungan nelayan dalam kawasan Sungai Besar di Sabak Bernam.

Kampung itu dihuni sekitar 300 buah keluarga yang kebanyakannya bekerja sebagai petani dan nelayan pantai.

Nelayan dalam kategori kelas A ini menangkap ikan sekitar 30km atau kurang daripada pantai menggunakan pukat hanyut, tangkul atau jala. 

Masalah kos sara hidup mendorong Rohaisam Rahmat, 18 berhenti sekolah ketika Tingkatan Satu dan menolong bapanya menangkap ikan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin,  1 Ogos, 2019.

Bantu keluarga atasi masalah kewangan 

Seorang lagi remaja, Muhammad Rozzaimi Muhammad Nasron, 17, sudah mula turun ke laut sejak tiga tahun lepas untuk belajar menjadi nelayan bersama ayahnya.

Ketika tingkatan empat, Rozzaimi berkata beliau mengambil keputusan berhenti sekolah bagi membantu keluarganya yang turut mengalami masalah kewangan.

“Ini adalah pilihan sendiri, tiada siapa yang suruh. Ada beberapa pihak yang halang (daripada berhenti sekolah) tapi saya lebih suka hidup berdikari.

“Sekurang-kurangnya, ibu bapa saya tidak perlu tanggung saya,” jelas remaja ini.

Rozzaimi juga menyesali kerana tidak pernah bercita-cita untuk menyambung pelajaran hingga ke menara gading sebelum ini.

Anak keempat daripada enam adik-beradik itu berkata, beliau kini sedar kepentingan pelajaran dan tidak akan membenarkan dua adiknya untuk berhenti sekolah dan bekerja.

“Saya tak bagi (mereka jika mahu berhenti sekolah), cukuplah saya lalui susah senang, biar adik-adik dapat sambung belajar,” tambahnya.

Seorang lagi nelayan muda, Rohaisam Rahmat, 18, berkata beliau sememangnya suka menangkap ikan sebagai hobi dan sering membantu bapanya ke laut.

Namun keputusan untuk berhenti sekolah selepas tamat tingkatan satu, lima tahun lalu didorong masalah kos sara hidup dan bukan disebabkan minat menangkap ikan semata-mata, katanya.

“Saya memang perlu bekerja kerana keluarga saya susah. Saya ada tujuh adik beradik. Sejak saya bekerja, saya dapat bantu adik-adik ke sekolah. Beri mereka duit makan,” katanya.

Ketika ditanya, Rohaisam berkata beliau tidak menyesali keputusan tersebut kerana yakin ia mampu meringankan beban keluarganya.

Bercakap mengenai peluangnya untuk memperbaiki kehidupan, Rohaisam menyatakan keyakinan Laut Selat Melaka itu akan terus memberi rezeki kepadanya dan keluarga.

“Saya akan terus jadi nelayan,” tegasnya. – 1 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen