PEMIMPIN Melayu Pakatan Harapan perlu mempertahankan pelaksanaan penggunaan tulisan jawi dan seni khat dalam buku teks sekolah yang dijadualkan bermula tahun hadapan, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid berkata, bantahan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) membuktikan mereka buta sejarah kerana tulisan jawi merupakan sebahagian daripada Bahasa Melayu.
“Kita mahu dengar apa pandangan pemimpin-pemimpin Melayu di dalam kerajaan Pakatan Harapan terhadap isu ini.
“Mereka harus bangun untuk mempertahankan isu ini. Jangan mengambil sikap menikus dan perlu berani menyatakan pendirian seperti Umno dalam isu ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sungai Besar, hari ini.
Dong Zong dan Jiao Zong membantah keputusan tersebut dan menegaskan seni khat dan tulisan jawi yang akan dimasukkan sebagai sebahagian sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun depan adalah tidak sesuai kerana tiada kaitan.
Kedua-dua kumpulan itu dilaporkan akan mengadakan pertemuan Isnin ini untuk membincangkan isu itu.
Mereka juga mendakwa sudah menggerakkan beberapa kumpulan lain termasuk wakil sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) untuk membantah keputusan berkenaan.

Menurut Zahid, Umno menyokong penuh usaha Kementerian Pendidikan untuk memartabatkan semula tulisan jawi yang disifatkan sebagai sejarah awal bangsa Melayu.
“Di dalam banyak terbitan sejarah dan kesusasteraan Melayu lama, ianya adalah berdasarkan tulisan jawi.
“Jika matlamat untuk memartabatkan semula tulisan jawi yang akan dijadikan sebagai satu elemen dalam pendidikan, ianya harus diteruskan,” ujarnya.
Kementerian sebelum ini dalam satu kenyataan menegaskan usaha itu akan tetap diteruskan kerana kepentingannya untuk menerapkan warisan Bahasa Melayu dan identiti negara.
“... (Ia) sejajar dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan,” katanya.
Usaha memperkenalkan tulisan jawi itu mendapat bantahan pelbagai pihak termasuklah MCA dan Gerakan.
Beberapa pemimpin akar umbi DAP dan 13 Adun parti itu turut mengeluarkan kenyataan bantahan. – 3 Ogos, 2019.
Komen