Tulisan jawi akan tetap diajar, kata Kementerian Pendidikan


Pengumuman untuk melaksanakannya dalam buku teks sekolah vernakular itu dikecam parti Gerakan kerana didakwa tidak menghormati komuniti Cina dan India. – Gambar YouTube, 2 Ogos, 2019.

TULISAN khat jawi tetap akan diajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4, tegas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Keputusan itu dibuat selepas melalui sesi libat urus dengan pakar bahasa dan pendidikan serta mengambil kira maklum balas ke atas isu itu, menurut kenyataan kementerian.

“Sehubungan itu KPM akan meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat ini seperti dijadualkan, dengan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan murid dan guru.”

Ia turut menjelaskan, tulisan itu penting untuk menerap warisan bahasa Melayu dan identiti negara.

“... (Ia) sejajar dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan,” kata kementerian.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching pada 28 Julai lalu mengumumkan, tulisan jawi yang digunakan dalam buku teks sekolah sejak 2016 itu akan terus digunakan hingga 2020.

Pengumuman untuk melaksanakannya dalam buku teks sekolah vernakular itu dikecam parti Gerakan kerana didakwa tidak menghormati komuniti Cina dan India.

Presiden Gerakan Dominic Lau Hoe Chai dilaporkan berkata dengan pelaksanaan itu kementerian juga perlu menggunakan tulisan Cina dan Tamil pada buku-buku teks sekolah kebangsaan.

Parti MCA juga tidak terkecuali menyatakan bantahan ke atas pengajaran tulisan tersebut, selain pemimpin akar umbi DAP dan 13 Adun yang mengeluarkan kenyataan bantahan.

Pengajaran tulisan berkenaan bagaimanapun disokong sasterawan seperti Lim Swee Tin yang melihatnya sebagai identiti nasional dan meminta agar usaha itu tidak dicurigai.

Isu tulisan jawi juga pernah ditimbulkan menteri DAP Teresa Kok yang mempersoalkan penggunaan tulisan berkenaan pada papan tanda nama jalan di Seputeh, Kuala Lumpur.

Isu pengajaran tulisan jawi itu dilaporkan akan dibincangkan kumpulan pendesak Cina Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) pada Isnin depan.

Tulisan jawi kini diwajibkan pada papan tanda perniagaan di negeri tertentu dan juga dalam persuratan rasmi. – 2 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen