ISU pengajaran tulisan jawi di sekolah vernakular menjadi fokus perbincangan utama kumpulan pendesak Cina Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) pada Isnin depan.
Laporan portal Sin Chew menyebut, pertemuan dengan NGO pendidikan Cina dan Tamil itu berhubung pengajaran tulisan tersebut dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4.
“Pertemuan itu akan dihadiri lebih 10 organisasi pendidikan Cina dan Tamil di negara ini,” laporan itu dipetik.
Laporan berkenaan turut memetik kenyataan seorang sarjana pendidikan yang mendakwa tulisan jawi bukan sebahagian daripada bahasa Melayu.
Tulisan itu juga didakwa tidak pernah dimasukkan dalam buku teks sekolah kebangsaan sejak 60 tahun lalu.
“Jawi hanya sebahagian daripada mata pelajaran Pendidikan Agama Islam,” dakwanya dalam laporan itu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching pada 28 Julai lalu mengumumkan, tulisan jawi yang digunakan dalam buku teks sekolah sejak 2016 itu akan terus digunakan hingga 2020.
Pengumuman untuk melaksanakannya dalam buku teks sekolah vernakular itu dikecam parti Gerakan kerana didakwa tidak menghormati komuniti Cina dan India.
Presiden Gerakan Dominic Lau Hoe Chai dilaporkan berkata dengan pelaksanaan itu kementerian juga perlu menggunakan tulisan Cina dan Tamil pada buku-buku teks sekolah kebangsaan.
“Jika kita hanya membenarkan pelajar-pelajar SJKC dan SJKT untuk mempelajari tulisan jawi, tetapi sekolah kebangsaan tidak perlu mempelajari seni tulisan kaligrafi Cina dan Tamil, ia dilihat seperti satu dasar yang tidak relevan daripada Kementerian Pendidikan yang dilihat mempunyai agenda dan tidak adil,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Parti MCA juga tidak terkecuali menyatakan bantahan ke atas pengajaran tulisan tersebut, selain pemimpin akar umbi DAP dan 13 Adun yang mengeluarkan kenyataan bantahan.

Pengajaran tulisan berkenaan bagaimanapun disokong sasterawan seperti Lim Swee Tin yang melihatnya sebagai identiti nasional dan meminta agar usaha itu tidak dicurigai.
Dalam kenyataan di Facebook, beliau berkata pengajaran tulisan jawi tidak akan merugikan mana-mana pihak malah akan memberi keuntungan kerana ia digunakan sejak beratus tahun di sini.
“Jawi di sekolah tidak menjejaskan apa-apa, tidak merugikan siapa-siapa. Anak-anak kita pasti seronok dapat mempelajari, juga menguasai warisan bangsa ini.
“Sebelum mengenali rumi, apakah bentuk tulisan yang kita guna? Beratus tahun jawi menadi dalam peradaban, budaya dan segar di alam Melayu. Memperkenalkannya di sekolah adalah satu keberuntungan,” katanya.
Menurutnya lagi, ia wajar dipelajari untuk memahami ilmu bangsa Melayu yang dikembangkan melalui tulisan jawi.
“Jawi sangat indah. Jangan mencurigainya. Ia hanyalah bentuk tulisan. Terlalu banyak khazanah keilmuan bangsa kita dikembangkan dahulu melalui tulisan ini.
“Puluhan ribu naskhah manuskrip kita yang berselerak di serata dunia itu dalam tulisan jawi. Kita perlu mengenalinya. Jawi masih punyai nilai ekonomi yang tinggi. Ia juga identiti nasional kita.
Isu tulisan jawi juga pernah ditimbulkan menteri DAP Teresa Kok yang mempersoalkan penggunaan tulisan berkenaan pada papan tanda nama jalan di Seputeh, Kuala Lumpur.
Tulisan jawi kini diwajibkan pada papan tanda perniagaan di negeri tertentu dan juga dalam persuratan rasmi. – 2 Ogos, 2019.
Komen