LYNAS Corp boleh meneruskan operasi pelupusan sisa radioaktif paras rendahnya jika mereka dapat menyediakan fasiliti bagi menguruskan sisa tersebut, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata syarikat pengeluar nadir bumi dari Australia itu perlu menunjukkan pelan bagaimana mereka akan menguruskan sisa tersebut.
“Betul, kita bagi syarat ini dekat Lynas.
“Mereka perlu bagi pelan dekat kita bagaimana mereka akan uruskan sisa tersebut.
“Kita menunggu mereka untuk beritahu pada kita apa mereka akan lakukan, sama ada ingin cari tempat untuk buang di sini atau tidak,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas adakah Putrajaya akan membenarkan Lynas membuang sisa dalam negara atau perlu menghantar keluar seperti yang ditetapkan kepada syarikat itu.
Malaysia sebelum ini menetapkan syarat kepada Lynas untuk membuang sisa nadir itu keluar dari Malaysia jika mahu operasi lesen itu diperbaharui.
Dilaporkan lesen syarikat itu akan tamat pada September.
Pada Mei, Dr Mahathir berkata Lynas dibenarkan untuk meneruskan operasi dan memikirkan alternatif lain jika syarikat itu tidak mahu membawa keluar sisa nadir itu dari Malaysia.
Menteri Tenaga Sains Teknologi dan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin pula menegaskan Lynas perlu membawa keluar sisanya jika mahu lesen mereka diperbaharui. – 1 Ogos, 2019.
Komen