PELOMBONG nadir bumi milik Australia, Lynas Corp akan dibenarkan terus beroperasi di kilangnya di Gebeng, Pahang, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Kerajaan bercadang untuk memperbaharui lesen operasi Lynas kerana ia melibatkan pelaburan yang besar, kata Dr Mahathir pada sidang media di Tokyo yang disiar secara langsung di Facebook hari ini.
“Kita fikir kita perlu perbaharui lesen.
“Kita akan benarkan Lynas beroperasi, kalau tidak kita akan hilang pelaburan besar dari Australia,” kata perdana menteri pada sidang media bersama Kelab Koresponden Asing Jepun di Tokyo, hari ini.
Lesen Lynas sepatutnya diperbaharui pada September tetapi dilaporkan mempunyai masalah berhubung isu pembuangan sisa.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin sebelum ini menegaskan bahawa Lynas perlu menguruskan sisa buangan dan menghantarnya semula ke Australia sebagai syarat untuk perbaharui lesen. Ia bagaimanapun ditolak oleh Australia.
Sekitar 450,000 tan sisa radioaktif terkumpul di kilang itu sejak ia mula beroperasi pada akhir 2012.
Dr Mahathir hari ini mengesahkan Malaysia menegaskan Lynas perlu menghapus dan membawa balik sisa buangannya ke Australia.
“Jika Australia enggan, kita akan bercakap dengan mereka,” katanya sambil menambah satu alternatif perlu dicari jika negara itu masih bertegas.
Awal bulan ini, Lynas berkata ia akan meneruskan rancangan membina kemudahan pelupusan tetap (PDF) untuk sisa radioaktif tahap rendah dari kilangnya di Gebeng, meskipun masih belum mendapat kepastian mengenai lesennya.
Syarikat itu berkata Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) telah meluluskan rangka kerja perancangan dan pemilihan tapak.
Lynas mendapat tentangan dari Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh serta aktivis alam sekitar sejak ia mula beroperasi kerana bimbang terhadap pencemaran sisa radioaktif. – 30 Mei, 2019.
Komen