LANGSUNG: Jho Low buat dulu, fikir kemudian, kata peguam Najib


Bede Hong Timothy Achariam

Joanna Yu, bekas pegawai perhubungan AmBank akan memberi keterangan untuk kali ketujuh hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Ogos, 2019.

SAKSI ke-54 pendakwaan, bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu akan kembali memberi keterangan pada perbicaraan Najib Razak berkaitan SRC International yang masuk hari ke-47.

Peguam Harvinderjit Singh dijangka meneruskan sesi soal balas saksi yang akan memberi tumpuan kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan pengaruhnya di sebalik transaksi berjumlah jutaan ringgit dikaitkan dengan akaun bank Najib.

Soal balas hari ini mungkin akan menyentuh isu penutupan tiga lagi akaun bank bekas perdana menteri itu di AmBank dan pembatalan dua kad kreditnya pada Mac 2015.

Pihak pembelaan juga mungkin akan bertanyakan Yu tentang reaksi Low selepas Bank Negara menyerbu AmBank cawangan Raja Chulan pada 6 Julai 2015, merampas dokumen dan bahan berkaitan dengan dakwaan wujud penyelewengan dana SRC International.

Semalam, Yu mendedahkan bahawa beliau mungkin bertindak di luar skop kerjanya apabila menggunakan wang sendiri sebanyak RM55,000 untuk mengatasi masalah pengeluaran lebih had akaun semasa Najib berakhir dengan nombor “906” pada 29 September 2014.

Najib mengeluarkan cek berjumlah RM80,000 kepada ahli perniagaan Lim Soon Peng pada hari tersebut, Yu pada mulanya cuba menghubungi Low untuk memberitahu bahawa akaun semasa itu tidak cukup wang.

Beliau kemudiannya cuba menghubungi setiausaha Low dikenali sebagai Josie, tetapi hanya mampu menghubungi sekutu Low, Kee Kok Thiam.

Log perbualan BlackBerry menunjukkan mesej Yu kepada Josie keesokkan harinya untuk berterima kasih kerana membayar kembali RM55,000 itu.

Pihak pembelaan dalam usaha mencadangkan kemungkinan pelbagai pihak bertindak atas arahan Low dan bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil hanyalah “perantara” arahan yang sebenarnya dikeluarkan Low.

Harvinderjit juga mencadangkan pengaruh Low wujud apabila beliau menjadi perantara pemindahan RM5 juta daripada syarikat pembinaan Putra Perdana kepada akaun Najib pada hujung 2014 untuk memastikan cek dikeluarkannya kepada Umno tidak ditendang.

Najib Razak berdepan tujuh pertuduhan jenayah berkaitan penyelewengan dana SRC International.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Ogos, 2019.

Yu bersetuju bahawa beliau ada menghubungi Low pada pagi 10 September 2014 untuk memberitahunya tentang kekurangan wang sebanyak RM3.8 juta.

Selepas kerjasama melibatkan Low, Josie dan CEO Putra Perdana Jerome Lee, RM5 juta dimasukkan ke dalam akaun Najib pada hari itu.

Yu juga mengesahkan cek sering dikeluarkan walaupun banyak amaran diberikan kepada Low dan Nik Faisal tentang akaun semasa Najib yang sentiasa tidak cukup wang.

Yu memberitahu mahkamah yang beliau meminta Low memaklumkan Najib supaya berhenti mengeluarkan cek kerana amaran sudah dikeluarkan oleh Pengarah Urusan AmBank ketika itu Ashok Ramamurthy.

Yu bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa hubungannya dengan Nik Faisal dan Low mula terjejas pada Januari 2015, kerana amaran diberikannya mengenai kemungkinan wujudnya pelanggaran Akta Anti Pengubahan Wang Haram 2001 (Amla) tidak diendahkan.

Yu akan memberi keterangan untuk hari ketujuh sebagai saksi, berulang kali menegaskan beliau tidak pernah melakukan transaksi haram mengikut arahan Low atau Nik Faisal.

Pertuduhan ke atas Najib berkaitan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International pada 2011 dan 2012 di mana beliau dituduh menerima RM42 juta yang dimasukkan ke akaunnya pada 2014 dan 2015.

Bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Najib diwakili pasukan pembelaan yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah manakala Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung: 

5pm:  Prosiding bersambung Isnin.

4.10pm: Harvinderjit menyentuh mengenai RM27 juta yang masuk ke akaun “880” Najib.

Dalam perbualan terakhir mereka, Low beritahu Yu supaya jangan bertanya dari mana asal wang itu. Harvinderjit mencadangkan kepada Yu bahawa Low meyakinkannya yang wang itu derma dari keluarga diraja. Yu setuju dengan Harvinderjit.

2.46pm: Harvinderjit sedang meneliti transaksi akaun Najib yang menyebabkan pengeluaran lebih had.

2.41pm: Mahkamah bersambung dengan Harvinderjit kembali menyoal balas Yu.

1.08pm: Mahkamah ditangguhkan untuk waktu rehat tengahari. 

12.32pm: Harvinderjit mengambil contoh apabila Yu meluahkan kebimbangan kepada Low tentang akaunnya yang terlebih had pengeluaran.

Low membalas dan mengarahkannya memberitahu Geh untuk memindahkan dana SRC international kepada akaun Najib selepas bekas perdana menteri itu mengeluarkan cek berjumlah RM3.5 juta.

Harvinderjit mencadangkan yang Geh, Low dan kumpulan mereka bertindak tergesa-gesa untuk menaikkan dana tanpa berfikir.

11.51am: Harvinderjit bertanyakan Yu tentang modus operandi Low 

Harvinderjit: Semua urus niaga diuruskan Low, mereka buat dahulu kemudian baru fikir?

Yu: Ya. 

11.36am: Harvinderjit memeriksa dan meneliti log perbualan antara Yu dan Nik Faisal tentang SRC International. 

10.20am: Yu berkata Low kemudiannya menawarkan jawatan kepada beliau dan pasukannya, termasuk Daniel Lee.

“Dia mahu pasukan kami bekerja untuknya tapi kami tolak,” katanya.

Harvinderjit: Maksud awak dia tawar awak sertai SRC? Lumayan? RM60,000 sebulan?

Yu: Ya, tapi kami tak mahu bekerja dengan mereka.

10.15am: Harvinderjit membacakan perbualan antara Low dan Yu, di mana Low bertanya sama ada beliau kenal sesiapa yang boleh digaji untuk jawatan ketua pegawai kewangan SRC International. Yu membalas yang beliau akan memberitahu Low jika beliau ada calon.

10.04am: Selepas disoal bertalu-talu, Yu berkata beliau berurusan dengan Terence Geh (bekas pengarah eksekutif kewangan 1MDB) dan Low untuk urusan SRC International.

10.02am: Harvinderjit meminta Yu tentang perkara diuruskannya dengan Nik Faisal mengenai SRC International.

9.40am: Sithambaram membantah soalan peguam. Hakim Nazlan meminta saksi menjawab soalan tersebut. 

9.34am: Harvinderjit memberitahu mahkamah yang Yu mengelak untuk menjawab soalan dan pendakwa raya V Sithambaran membantah soalan yang dikemukakan.

9.31am: Mereka sedang meneliti prosedur transkasi dan pembukaan akaun di cawangan bank.

9.15am: Pembelaan mula menyoal balas Yu.

Selepas meneliti transaksi melibatkan Putra Perdana Berhad, mereka akan meneliti transaksi SRC International. – 1 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen