Remaja tidak dipaksa tapi jadi nelayan kerana kesempitan hidup


Zaim Ibrahim

Kerana kesempitan hidup, segelintir remaja sanggup mengorbankan masa depan untuk membantu keluarga dan bekerja sebagai nelayan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 1 Ogos, 2019.

REMAJA yang berhenti sekolah untuk bekerja sebagai nelayan di kawasan Sungai Besar berbuat demikian atas pilihan sendiri tanpa dipaksa, kata wakil rakyat dan kumpulan nelayan kawasan itu.

Adun Sungai Panjang Mohd Imran Tamrin mengakui remaja berkenaan berbuat demikian kerana kesempitan hidup tetapi golongan itu tidak dipergunakan mana-mana pihak.

Jelasnya, remaja berkenaan memperoleh gaji yang sama dengan nelayan lain dan setimpal dengan tugas  yang dilakukan semasa menangkap ikan.

“Mereka mencari sumber pendapatan untuk diri mereka, bukan dipaksa atau dikerahkan untuk bekerja mencari ikan.

“Mereka ini (menjadi nelayan) atas diri mereka sendiri, saya yakin dan percaya tidak ke arah menyalahi Akta Buruh,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Peruntukan undang-undang itu melarang mana-mana pihak menggaji kanak-kanak berusia bawah 15 tahun, mengikut Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2018.

Golongan berusia antara 15-18 tahun yang ditakrif sebagai orang muda ini pula dibenarkan bekerja, dengan syarat mereka tidak bekerja antara 8 malam dan 6 pagi.

Orang muda ini juga tidak dibenarkan bekerja lebih daripada 4 jam berturut-turut tanpa tempoh rehat, bekerja lebih daripada 7 jam sehari dan bekerja 12 jam tanpa henti.

Mereka juga tidak dibenarkan bekerja di kawasan yang berisiko tinggi.

Adun Sungai Panjang Mohd Imran Tamrin mengakui tindakan remaja terbabit adalah kerana kesempitan hidup dan tidak pernah diambil kesempatan oleh mana-mana pihak.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 1 Ogos, 2019.

Jadi nelayan pantai 

Imran ditemui di Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Panjang yang menyaksikan ramai remaja meninggalkan sekolah saban tahun untuk bekerja sebagai nelayan pantai.

Keadaan tersebut berlaku sejak beberapa tahun lepas sehinggakan ada remaja mula berhenti sekolah antaranya seawal usia 13 tahun.

Imran berkata beliau tidak bersetuju dengan tindakan golongan remaja itu berhenti sekolah untuk mencari pendapatan namun mengakui ia berlaku atas kesempitan hidup.

Anak nelayan ini akhirnya turun ke laut kerana bapa mereka tidak mampu menggaji pekerja untuk membantu mendapatkan lebih banyak tangkapan bagi menambah pendapatan, katanya.

“Kebanyakan keluarga anak remaja ini mengalami masalah kesempitan hidup. Ibu bapa mereka tidak mampu memberi gaji kepada orang lain, oleh itu mereka menggunakan isi rumah sedia ada. 

“Pada asalnya sekadar untuk membantu tetapi ia menjadi satu keperluan bagi mereka mencari sumber pendapatan lebih,” katanya.

Beliau turut menggalakkan remaja ini menyambung pengajian dalam bidang kemahiran untuk membolehkan mereka tetap meraih pendapatan sewaktu tidak dapat ke laut.

Namun anak nelayan ini tetap memerlukan bantuan untuk membolehkan mereka dapat menuntut kemahiran ini.

Ketua Pengkalan Jeti Nelayan Sungai Haji Dorani, Zulkarnain Saidek berkata ada dalam kalangan remaja terbabit yang memang hilang minat untuk belajar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 1 Ogos, 2019.

Kuasai bidang kemahiran 

“Saya faham mereka perlu bantu keluarga mereka, tetapi mesti mempunyai kemahiran yang lain. Saya galakkan mereka untuk ke institusi kemahiran seperti Giat Mara dan sebagainya.

“Ada waktu tertentu nelayan tidak boleh keluar ke laut, jadi mereka perlu pekerjaan kedua contohnya mengusahakan perniagaan kecil-kecilan atau membaiki barangan elektrik,” tambahnya.

Kalangan nelayan di kawasan ini juga tidak berkenan dengan tindakan remaja ini berhenti sekolah untuk ke laut, tetapi berpendapat langkah itu lebih baik daripada membebankan keluarga.

Ketua Pengkalan Jeti Nelayan Sungai Haji Dorani, Zulkarnain Saidek, 28, menjelaskan ada di kalangan remaja itu sememangnya tidak berminat untuk belajar.

“Kalau pergi sekolah pun, takut tak sampai ke sekolah (ponteng). Lebih baik mereka bekerja di laut, ibu bapa mereka tahu mereka ada di mana,” jelasnya.

Zulkarnain berkata beliau memahami keadaan di kawasan itu memandangkan beliau juga berhenti sekolah ketika berusia 16 tahun.

“Banyak faktor kenapa keadaan ini berlaku. Antaranya faktor kewangan, adik-beradik yang ramai, dan bantu keluarga. Mereka yang minat (mahu menjadi nelayan) kita tak boleh larang,” katanya.

Namun walau remaja ini masih muda, mereka tidak diambil kesempatan oleh mana-mana pihak kerana kebajikan dan gaji mereka akan dipelihara, tegasnya.

“Tiada isu beri gaji rendah kepada mereka. Gaji kita ikut kepada hasil tangkapan. Semua sama tidak kira baru bekerja atau lama yang penting pandai bekerja dan hasil tangkapan banyak,” katanya. – 1 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen