TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali patut dikenakan tindakan mengikut perlembagaan parti, kerana tidak pernah hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), kata pemimpin parti.
Perlembagaan PKR di bawah Fasal 21.16 memperuntukkan mana-mana ahli MPP yang tidak hadir tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan dianggap sudah letak jawatan daripada badan itu. Peruntukan itu juga memberi kuasa kepada MPP untuk menguatkuasakannya.
Seorang veteran parti memberitahu The Malaysian Insight, beliau percaya Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak mahu mengambil tindakan ke atas ahli MPP yang tidak hadir mesyuarat termasuk Azmin, kerana mahu mengelak parti berpecah lebih parah.
“Amatlah janggal sangat pemimpin kanan sudah lama tidak ke mesyuarat. Alasan diberikan kurang munasabah kerana walau macam mana kita kena beri prioriti (kepada urusan parti).
“Kalau dari segi perlembagaan memang dah boleh ambil tindakan. Kalau ikut dah jatuh talak dah.
“Tapi saya kenal Presiden (Anwar Ibrahim) sudah lama. Beliau ada ihsan yang tinggi, tidak mahu parti pecah,” kata pemimpin veteran yang enggan dinamakan, yang pernah memegang jawatan kanan parti.
Semua sumber lain yang dihubungi The Malaysian Insight turut tidak mahu nama mereka didedahkan kerana sensitiviti isu ketika PKR berdepan ujian kepimpinan terkait penyebaran rakaman seks yang dituduh mengaitkan Azmin.
Azmin menafikan tuduhan sebalik menegaskan penyebaran rakaman seks dua lelaki itu bertujuan memusnahkan nama baik dan masa depan politiknya.

Siasatan polis juga mengesahkan rakaman seks itu didalangi pemimpin parti politik.
Seorang Adun PKR mahu parti tidak bertolak ansur sebaliknya lebih tegas dan tidak pilih bulu dalam menegakkan peraturan yang sudah jelas dinyatakan dalam perlembagaan.
“Parti seharusnya bertindak tegas ikut lunas perlembagaan parti. Kalau ahli biasa melanggar peraturan, sudah diberikan surat tunjuk sebab.
“Kita adalah parti yang gagaskan keadilan dan seharusnya konsep keadilan itu diterjemahkan dalam tindakan parti,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Seorang pimpinan sayap pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat pula mempersoalkan komitmen dan fungsi Azmin sebagai timbalan presiden parti.
“Sepatutnya kalau ikut perlembagaan Azmin sudah boleh dipecat dan sebagai pemimpin yang ada maruah dia sepatutnya sudah boleh berundur. Dia tidak berfungsi atas tugasan hakiki.
“Dia dapat jadi menteri sebab tugas hakiki sebagai timbalan presiden,” katanya.
Semalam, Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi menjelaskan beliau tidak hadir mesyuarat MPP pada Ahad kerana masanya bertembung dengan program sebagai menteri.
“Ada program parti yang saya hadir, kalau tiada tugas kerajaan. Kalau ada (tugas) saya akan maklum.
“Itu proses normal. Kenapa sasarkan saya?” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengingatkan Azmin bahawa beliau jadi menteri kerana kedudukannya sebagai pimpinan PKR.
“Kita ada lapan mesyuarat MPP selepas pemilihan, dan Azmin tidak sekalipun hadir, ini memang tidak hormat parti dan perlembagaan,” katanya, yang juga setiausaha politik kepada Anwar.
“Kena ingat, (Azmin) dapat jadi menteri pun sebab mandat beliau dalam parti.
“Kalau dia tak datang bagaimana kita boleh bincang? Banyak isu… manifesto dan sebagainya. Kena ambil pandangan kolektif parti serta akar umbi. Tapi bila tidak datang macamana?” katanya, ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Sebelum ini, The Malaysian Insight melaporkan Setiausaha Agong PKR Saifudin Nasution kecewa kerana beberapa pimpinan kanan tidak mengutamakan mesyuarat parti.
Ahad lalu, Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Azmin masih tidak hadir ke mesyuarat mesyuarat MPP walaupun sudah berkali-kali diberikan peringatan.
Beliau juga mendedahkan bahawa jadual mesyuarat parti sudah diedarkan awal kepada mereka yang terlibat.
“Pimpinan diingatkan hadir supaya sebagai satu parti boleh selaraskan dasar-dasar jitu dan baik,” kata Fahmi. – 30 Julai, 2019.
Komen