MEMANG lumrah jika pemimpin tidak hadir mesyuarat parti apabila mempunyai tugas di kementerian, kata Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dipetik Malaysiakini berkata, beliau akan menghadiri program parti jika tiada tugas kerajaan pada masa itu.
“Ada program parti yang saya hadir, kalau tiada tugas kerajaan. Kalau ada (tugas) saya akan maklum.
“Itu proses normal. Kenapa sasarkan saya?”
Azmin dipetik berkata demikian ketika diminta mengulas mengapa tidak hadir pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR semalam.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil semalam berkata setiap pemimpin sudah berulang kali diingatkan untuk hadir mesyuarat parti. Ia sudah dinyatakan oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dan ditetapkan dalam jadual, katanya.
“Pada waktu ini Majlis Pimpinan Pusat (MPP) telah diingatkan oleh Setiausaha Agung bahawa takwim dan jadual mesyuarat seperti MPP, Biro Politik diedarkan awal.
“Pimpinan diingatkan hadir supaya sebagai satu parti boleh selaraskan dasar-dasar jitu dan baik,” kata Fahmi.
Azmin ketika mengulas bagaimanapun tidak menjelaskan apakah tugas kerajaan yang menyebabkan beliau tidak hadir pada mesyuarat MPP semalam.
“(Tak datang mesyuarat) sebab ada tugas. Kita sebagai pemimpin parti kerajaan, kita ada tanggungjawab kepada kerajaan dan parti.
“Kita perlu membawa mandat ini secara bersama. Jadi, ada kalanya tugas kerajaan yang perlu kita dilaksanakan, itu juga tanggungjawab kita,” katanya seprti dilapor Malaysiakini.
Selain Azmin, turut tidak hadir semalam ialah Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita PKR Haniza Talha dan Pengerusi PKR Selangor Amirudin Shari. – 29 Julai, 2019.
Komen