PEMIMPIN cabang PKR tidak dipaksa untuk memperaku sokongan terhadap Anwar Ibrahim, kata pengarah komunikasi parti itu Fahmi Fadzil.
Beliau menafikan kenyataan Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang mendakwa wujud gerakan untuk menekan ketua cabang tersebut supaya menyatakan sokongan kepada Anwar.
Menurut Fahmi, isu sokongan itu sudahpun selesai dan tidak perlu ditimbulkan lagi dan pemimpin PKR juga tidak mahu lagi membincangkan mengenai perakuan sokongan itu.
“Pimpinan buat keputusan untuk tutup buku dan pandang ke hadapan daripada perkara ini kerana rakyat mahu Keadilan, sebagai parti yang terbesar dalam Pakatan Harapan (PH) untuk beri fokus isu rakyat.
“Kita anggap isu itu telah selesai. Tiada unsur paksaan (untuk menandatangani perakuan menyokong Anwar Ibrahim),” kata beliau dalam sidang media di Petaling Jaya.
Zuraida pada Jumaat lalu mendakwa ketua cabang berkenaan ditekan untuk menyatakan sokongan itu bagi menunjukkan kedudukan Anwar kukuh.
Dakwanya, kutipan sokongan semasa pemukiman PKR minggu lalu tidak perlu dilakukan sekiranya kedudukan Anwar benar-benar kukuh.
Ketika Pemukiman PKR minggu lalu di Port Dickson, program itu berakhir dengan 120 pemimpin kanan parti termasuk wakil rakyat parlimen dan negeri serta senator memberi sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim untuk memimpin parti.
Mereka mahu Anwar memimpin PKR untuk jadi tonggak Pakatan Harapan selain bertekad memastikan janji pilihan raya terlaksana.
Sebelum itu, semua Pengerusi PKR negeri mengumumkan sokongan terbuka kepada Anwar kecuali Selangor, Johor dan Sarawak yang masih belum menandatangani sokongan tersebut.
Semalam, PKR Negeri Sembilan menjadi kumpulan terbaru menyokong Anwar sebagai presiden parti.
Tujuh daripada lapan ketua Cabang Negeri Sembilan, selain 17 pemimpin peringkat negeri menandatangani perakuan itu.
Negeri lain yang menyatakan sokongan dengan surat perakuan yang sama adalah Johor, Pulau Pinang, Perak dan Pahang. – 28 Julai, 2019.
Komen