Tiga pengerusi PKR negeri belum ikrar sokong Anwar 


Nabihah Hamid Zaim Ibrahim

PKR Selangor, Sarawak dan Johor masih belum menandatangani sokongan terhadap Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri selepas Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Julai, 2019.

TIGA pengerusi PKR negeri – Selangor, Johor dan Sarawak – belum menyertai ketua parti di negeri yang mengumumkan sokongan terbuka kepada Presiden Anwar Ibrahim semalam.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata pihaknya gagal menghubungi dua pengerusi negeri iaitu Selangor dan Sarawak, sementara pengerusi PKR Johor Hassan Karim sudah letak jawatan semalam.

“Kita tidak dapat menghubungi Menteri Besar (Selangor) Amirudin Shari lagi. Baru Bian (Pengerusi PKR Sarawak) mungkin berada di luar negara. 

“Johor pula sudah letak jawatan,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Menurut Azan, hari ini empat lagi pemimpin negeri menandatangani ikrar sokongan kepada Anwar iaitu Fuziah Salleh (Pahang), Christina Liew (Sabah), Muhammad Bakthiar Wan Chik (Pulau Pinang) dan Aminuddin Harun (Negeri Sembilan).

Beliau yakin Perak juga bersama mereka kerana pengerusinya Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang juga setiausaha politik kepada Anwar, sudah tentu bersama presiden parti.

Amirudin tidak hadir ke pemukiman PKR di Port Dickson bermula malam tadi difahamkan kerana bercuti sakit.

Baru, yang juga Menteri Kerja Raya, tidak dikesan di lokasi pemukiman hari ini.

Hassan pula semalam dilaporkan sudah menyerahkan surat perletakan jawatan kepada pucuk pimpinan parti. Setakat ini, bagaimanapun belum ada pengesahan rasmi mengenai kedudukan jawatannya.

Pada Disember tahun lalu, Hassan menolak pelantikannya sebagai ketua negeri namun kemudian menerima jawatan itu.

Sementara, Farhash pula ditahan polis untuk siasatan berhubung penyebaran rakaman seks dua lelaki yang dituduh dikaitkan dengan Mohamed Azmin Ali, yang juga timbalan presiden PKR.

Semalam, enam pemimpin PKR negeri menandatangani ikrar menyokong Anwar, selepas 28 ahli Majlis Pimpinan Pusat dan wakil rakyat parti mempersoalkan kepimpinan beliau sebagai presiden parti dalam menghadapi tuduhan skandal seks ke atas Azmin.

Pengerusi PKR Kedah Johari Abdul yang mengetuai enam pemimpin negeri semalam bagaimanapun menafikan ikrar mereka ada kaitan dengan kenyataan terbuka 28 pemimpin itu.

Selain Johari dan Azan, empat pemimpin negeri lain yang menandatangani sokongan kepada Anwar semalam ialah Amran Kamaruddin (Perlis), Halim Bachik (Melaka), Zahir Hassan (Wilayah Persekutuan) dan Supardi Md Noor (Kelantan).

Selain sokongan kepada Anwar, enam pemimpin negeri itu semalam mengumumkan pembentukan Majlis Pimpinan Negeri PKR.

Dalam mesyuarat pertama majlis itu semalam, mereka menzahirkan sokongan kepada usaha Anwar untuk membangunkan PKR dan menjadikannya parti yang kuat dan dihormati di Malaysia.

Mereka juga memberi komitmen tanpa belah bahagi kepada Anwar untuk memimpin negara ke tahap yang diharapkan oleh rakyat.

PKR tercampak ke dalam krisis selepas pemilihan parti tahun lalu menunjukkan dengan jelas garis dalam parti yang ditandai pada kedudukan timbalan presiden antara Azmin dan pencabarnya Rafizi Ramli, yang didakwa didukung oleh Anwar.

Rafizi yang kalah pemilihan timbalan presiden kemudian dilantik sebagai naib presiden.

Namun perselisihan semasa pemilihan itu, yang juga berasal dari konflik dalaman bertahun-tahun sebelum ini, kemudiannya berlarutan sehingga sekarang – enam bulan selepas pemilihan selesai.

Pertelagahan itu muncul lagi apabila Azmin dituduh terlibat dalam skandal seks selepas rakaman hubungan intim dua lelaki tersebar sejak lebih sebulan lalu.

Siasatan polis setakat ini mendedahkan penyebaran rakaman seks itu bermotifkan politik, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Hari ini, Hamid membayangkan rasa kesalnya apabila polis diheret ke dalam krisis dalaman parti sehingga membuang masa dan tenaga pasukan berkuasa itu ke atas isu-isu lain. – 20 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen