AZMIN ALI tetap tidak hadir ke mesyuarat mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR itu hari ini walau selepas diberi peringatan berulang kali, menurut parti tersebut hari ini.
Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata peringatan untuk hadir ke hari ini sudahpun dinyatakan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dan sudah ditetapkan dalam jadual.
“Pada waktu ini Majlis Pimpinan Pusat (MPP) telah diingatkan oleh Setiausaha Agung bahawa takwim dan jadual mesyuarat seperti MPP, Biro Politik diedarkan awal.
“Pimpinan diingatkan hadir supaya sebagai satu parti boleh selaraskan dasar-dasar jitu dan baik.
“Peringatan diberikan hari ini dan berulang kali secara media, terbuka, dan melalui mesyuarat hari ini,” jelas beliau dalam sidang media selepas mesyuarat MPP di Petaling Jaya.
Ditanya sekiranya pemimpin PKR yang kerap tidak hadir ke mesyuarat boleh dikenakan tindakan, Fahmi menjawab ia bergantung kepada keputusan parti.
“Terpulang kepada parti untuk ambil tindakan. Peringatan telah diberikan (kepada semua pimpinan), katanya.
Tambahnya, mesyuarat MPP hari ini juga berjalan dengan baik kerana lebih daripada dua pertiga keseluruhan 65 orang ahli majlis tersebut hadir ke mesyuarat.

Isu mengenai ketidakhadiran ke mesyuarat penting PKR itu meruncing apabila timbul kes video seks yang dikaitkan dengan pemimpin tertinggi parti berkenaan sejak Mei.
Bekas Ketua AMK Santubong Haziq Abdullah Abdul pada Mei lalu mengaku sebagai individu dalam video berkenaan dan menuduh Azmin sebagai pasangannya dalam rakaman itu..
Timbalan presiden PKR itu menafikannya dan mendakwa ia adalah usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Azmin juga mendakwa mengetahui terdapat individu tertentu yang mendalangi tuduhan berkenaan.
Beliau bagaimanapun tidak hadir ke pemukiman PKR pada minggu lalu, yang disifatkan pemimpin parti sebagai wadah terbaik untuk mempertahankan dirinya daripada tuduhan berkenaan.
Pemimpin lain yang tidak hadir ke pemukiman itu termasuk naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita Hamiza Talha dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Zuraida, Haniza dan Amirudin juga tidak hadir ke mesyuarat itu namun difahamkan, menteri besar Selangor itu dalam perjalanan sebelum mesyuarat itu tamat lebih awal. – 28 Julai, 2019.
Komen