HUBUNGAN antara bekas pegawai perhubungan AmBank Joanna Yu dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jhow adalah tumpuan utama perbicaraan kes SRC International melibatkan Najib Razak minggu lepas.
Low adalah salah seorang pelanggan terbesar bank itu, kata Yu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang juga menambah beliau adalah orang yang dihubunginya sekiranya akaun semasa Najib berdepan masalah pengeluaran lebih had.
Yu yang merupakan saksi ke-54 pihak pendakwaan juga berkata idea menggunakan kod nama untuk menyembunyikan identiti Najib sebagai pemilik akaun bank itu datang dari Low.
Kod nama yang digunakan “AmPrivate Banking-MR”- akan dilihat pemberi wang sekiranya mereka memasukkan wang ke dalam akaun semasa Najib di AmBank.
Keterangan diberikan Yu, 48, juga menyokong keterangan bekas pengarah urusan AmBank Cheah Tek Kuang minggu lepas, bahawa Low berperanan dalam proses pembukaan akaun simpanan, semasa dan kad kredit Najib pada awal 2011.
Malah, Low turut berada di rumah Najib ketika Cheah berkunjung ke sana untuk mendapatkan tandatangan Najib di borang buka akaun.

Low “penyelesai” masalah akaun Najib
Yu dalam keterangannnya juga memberitahu, sekiranya akaun semasa Najib terlebih had pengeluaran, beliau akan menghubungi Low jika tidak dapat berhubung dengan bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.
Nik Faisal adalah pemegang mandat dilantik Najib untuk akaun peribadinya dan akaun SRC International.
Pemegang mandat berkuasa mengesahkan arahan bertulis pemilik akaun tetapi tidak berkuasa menandatangani cek atau membuat pengeluaran wang.
Yu menambah yang Low selalu membantunya menyelesaikan masalah pengeluaran lebih had akaun Najib bagi memastikan cek dikeluarkan bekas perdana menteri itu tidak ditolak bank kerana tidak cukup wang dalam akaun.
Disoal bagaimana Low ada pengaruh sebesar itu, Yu berkata beliau tidak pasti sejauh mana hubungan Low dengan Nik Faisal dan Najib.
Selain dua akaun yang dibuka pada 2011, Najib turut membuka tiga lagi akaun semasa pada 2013. Kesemua akaun ini merekodkan jumlah transaksi tinggi antara 2011 sehingga 2015. – 28 Julai, 2019.
Komen