Bila akaun Najib bermasalah, Jho Low tolong selesaikan, kata saksi


Bede Hong

Akaun Najib selalu berdepan pengeluaran lebih had, kata Joanna Yu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Julai, 2019.

PENGURUS Perhubungan AmBank Joanna Yu meminta bantuan Low Taek Jho apabila pengeluaran lebih had berlaku ke atas akaun semasa Najib Razak atau jika ada isu berbangkit lain, mahkamah dimaklumkan hari ini.

Yu berkata, beliau menghubungi Low- dikenali ramai dengan Jho Low- sekiranya beliau gagal menghubungi CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil, yang dilantik Najib sebagai pemegang mandat akaun peribadinya dan akaun SRC International.

Pemegang mandat diberikan kuasa untuk mengesahkan arahan bertulis, tetapi tidak berkuasa menandatangani cek atau membuat pengeluaran.

Ketika sesi soal balas oleh Pendakwa Raya V Sithambaram, Yu disoal mengapa beliau menghubungi Low sedangkan ahli perniagaan buruan itu bukanlah pemegang akaun atau pemegang mandat.

LANGSUNG: Mahkamah diberitahu akaun Najib sentiasa ada pengeluaran

Yu: Low bukan pemegang mandat yang memberikan arahan bertulis kepada kami. (Tetapi) dia adalah fasilitator ketika akaun dibuka. Dia bawa MD (pengarah urusan) ke (rumah Najib) untuk tandatangan borang. Ketika itu dia adalah penghubung antara pemegang akaun dan bank sebelum surat mandat dikeluarkan.

Banyak kali, dia akan hantar mesej kata Najib sedang tulis cek, dan dia perlu tahu jika akaun mempunyai pengeluaran lebih had.

Sithambaram: Ada sebab lain dia hubungi awak?

Yu: Dia nampaknya berhubungan dengan pemegang akaun atau pemegang mandat. Ada ketikanya, bila saya tak dapat hubungi Nik Faisal (tetapi) dia boleh berhubung dengannya. Saya percaya dia jawab (panggilan telefon) Jho Low selepas tak jawab panggilan kami.

Sithambaram: Apa gambaran awak tentang peranan Jho Low berkaitan akaun Najib?

Yu: Saya rasa dia mungkin tiada mandat untuk beri kami arahan bertulis tetapi dia uruskan perhubungan antara pemegang mandat atau menyelesaikan (masalah) sekiranya duit tidak cukup.

Yu menambah yang beliau tidak pernah menerima sebarang arahan daripada Low. – 22 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen