KEPUTUSAN syarikat studio antarabangsa Pinewood Studios menarik diri daripada kerjasama di Iskandar Malaysia akan memberi keuntungan kepada negara, kata penggiat tempatan.
Penggiat filem ini berpendapat, ia tidak memberi kerugian kerana kepakaran pekerja tempatan yang terlatih di studio akan dapat membantu menghasilkan filem tempatan yang berkualiti.
Malah, ia perlu dilihat sebagai satu cabaran bagi mereka menghasilkan filem di luar kebiasaan, kata bekas ketua pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Kamil Othman.
Jelasnya, keputusan syarikat berpengkalan di United Kingdom itu untuk berundur dibuat selepas kajian semula ke atas terlibat dalam projek berkenaan sejak 2009.
“Penglibatan Pinewood sebenarnya ada tempoh kajian semula selepas 10 tahun oleh Khazanah Nasional.
“Saya memang tahu tujuan asalnya Pinewood ialah tempat kepada pekerja tempatan bekerja dengan syarikat luar seperti Jepun dan Australia.
“Harap-harap mereka boleh menggunakan cara dan teknik (pembikinan filem) dengan standard bertaraf dunia,” jelasnya kepada The Malaysian Insight
Kerjasama itu dibentuk di antara Beserah Ventures Sdn Bhd, yang dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah, dengan Pinewood Shepperton plc.
Perjanjian itu bagi membangunkan Pinewood Iskandar Malaysia Studios sebagai satu prasarana studio produksi media bersepadu di Iskandar Malaysia, Johor.
Studio menggunakan teknologi termaju itu dibina dengan kos dianggarkan RM400 juta dan antara lain meliputi studio TV dan filem serta pasca produksi serta bengkel.
Khazanah pada masa itu mengumumkan, Pinewood dipilih kerana reputasinya sebagai studio ternama untuk membolehkan Malaysia menembusi pasaran filem dan TV antarabangsa.
Kerjasama itu bagaimanapun tamat pada awal bulan ini. Kini, studio di tapak seluas 20 hektar di Iskandar Puteri itu dijenamakan semula sebagai Iskandar Malaysia Studios.
Laporan The Hollywood Reporter menyebut, antara faktor yang mendorong kepada keputusan itu adalah lokasinya yang jauh dari Kuala Lumpur.
Selain itu, studio itu juga dilaporkan kurang tenaga kerja mahir dan berkelayakan, serta masalah mendapatkan dana daripada Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI).
Dana FIMI itu diumumkan pada November oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng melibatkan peruntukan RM30 juta bagi menggalakkan penghasilan filem bertaraf antarabangsa.
Selain itu, Khazanah juga menyediakan RM100 juta untuk FIMI yang khusus bagi penerbitan filem di studio tersebut.
Pinewood tetap berundur dan dalam kenyataan bersama dengan Iskandar Malaysia minggu lalu, mereka menyatakan objektif awal kerjasama itu tercapai termasuk dalam pembangunan studio.
“Kedua-dua pihak kini akan memfokuskan kepada fasa seterusnya dalam bisnes masing-masing,” kenyataan itu dipetik.
Mengulas perkara itu, Kamil berkata tindakan Pinewood menarik diri bukan satu berita yang menakutkan kerana ia bermaksud studio berkenaan adalah milik negara.
Oleh itu pembikin filem tempatan yang tidak banyak melakukan penggambaran di studio perlu merebut peluang ini untuk menghasilkan filem di luar kebiasaan.
“Kepakaran sudah ada, ilmu nak jaga studio pun sudah ada, jadi kita punyalah. Ini bermakna filem-filem Malaysia boleh buat filem (latar) purba atau masa depan.
“Jangan lagi cerita cinta, hantu sahaja,” tambahnya.
Pengarah filem, Al-Jafree Md Yusop pula melihat, Finas perlu menjalankan tanggungjawab agar lebih banyak pengusaha filam menggunakan studio berkenaan.
Katanya, hanya satu syarikat produksi tempatan yang menggunakan studio tersebut iaitu sejak 10 tahun lalu.
“Kalau tidak silap, hanya satu sahaja syarikat produksi Malaysia yang jalankan penggambaran di situ iaitu mini siri Anak Merdeka dengan pembiayaan Khazanah Nasional pada 2017,” katanya.
Dalam tempoh itu juga, jumlah syarikat produksi tempatan yang mendapat manfaat daripada Pinewood boleh dikira dengan jari, katanya.
Pengarah filem Mencari Rahmat itu berkata, pembangunan tempatan bukan terletak di bawah tanggungjawab syarikat luar seperti Pinewood Studios tetapi dipikul oleh Finas.
Namun studio besar dan moden seperti Iskandar Malaysia Studios bukan satu-satunya cara untuk membangunkan industri filem tempatan, katanya.
“Banyak negara tiada studio besar tapi pembangunan filem tetap hebat. Sebenarnya, Finas perlu bertanggjungjawab.
“Saya rasa lebih 30 tahun wujudnya Finas, bagi pendapat saya tidak banyak membantu kecuali dalam aspek pemberian dana,” tambahnya yang berpengalaman 20 tahun dalam bidang perfileman.

Jelasnya, perkara utama yang perlu dilakukan Finas adalah memperkasa arkib filem nasional untuk menunjukkan identiti filem negara dan menjadi rujukan kepada pelajar filem.
Selain itu, Finas juga perlu menyokong pembangunan pembikin filem bebas untuk mencungkil bakat serta pengarah baharu, katanya.
“Di Hollywood, pengarah hebat banyak dibentuk daripada filem independen. Tanpa usaha ini kita tak akan jumpa pengarah-pengarah baru yang bagus.
“Di Filipina, hasil dana daripada kerajaan mereka membina pawagampawagam kecil seluruh negara beri ruang penerbitan filem independen,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KRU, Norman Abdul Halim berkata beliau yakin Iskandar Malaysia Studios mampu berdikari walau selepas Pinewood menarik diri.
Jelasnya, dengan perkembangan baharu ini, Finas sepatutnya dapat menggunakan peluang untuk memberi dana agar pembikin filem dapat menggunakan studio Iskandar.
Khazanah pula dapat menumpukan kepada pelaburan kandungan untuk membangunkan harta intelek tempatan, katanya.
“Khazanah mampu membuat pelaburan, menjadi jaguh kepada penerbitan harta intelek. Malaysia mampu menjadi tuan punya kepada apa-apa kandungan (perfileman),” katanya.
Pinewood yang ditubuhkan sejak lebih 80 tahun lalu terlibat dalam lebih 1,500 produksi termasuk James Bond, Harry Potter, Batman Begins, dan Slumdog Millionaire.
Antara siri yang dirakam di studio berteknologi tinggi itu itu termasuklah Macro Polo ditayangkan di Netflix dan Asia’s Got Talent.
Komen