Pemimpin Kristian Sabah mahu keadilan atas dakwaan pengislaman paksa


Jason Santos

Timbalan Ketua Menteri Sabah Wilfred Madius Tangau berkata pemimpin sekarang tidak memaksa sesiapa pun di Tambunan memeluk Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2019.

KEADILAN mesti ditegakkan jika dakwaan Timbalan Ketua Menteri Sabah Wilfred Madius Tangau baru-baru ini bahawa upacara pengislaman paksa beramai-ramai di Tambunan 38 tahun lalu benar-benar berlaku, kata pemipin-pemimpin Kristian negeri.

Mereka juga menggesa pihak yang tersinggung dengan dakwaan Tangau itu supaya melihat kenyataan timbalan ketua menteri itu sebagai perbandingan antara pemimpin politik pada masa dahulu dan sekarang.

Pengerusi Majlis Gereja-Gereja Keningau Rev Anderson Norbert berkata tumpuan sepatutnya diberi kepada memastikan kebenaran dakwaan Tangau itu.

“Ini menyalahi undang-undang kerana Sabah mengamalkan kebebasan beragama. Kalau betul berlaku pengislaman paksa beramai-ramai, keadilan mesti ditegakkan.

“Ada rejim yang menindas.

“Pemimpin dulu menetapkan syarat (masuk Islam) untuk ganjaran, dan menurut Tangau, ia seperti ugutan,” kata Norbert merujuk kepada dakwaan Tangau iaitu penduduk dipaksa memeluk Islam sebelum diberi tanah atau pekerjaan.

Ahad lalu, Tangau menerusi Facebook berkata seorang pemimpin yang dirahsiakan namanya didakwa menganjurkan majlis memeluk Islam beramai-ramai di Tambunan, 38 tahun lalu.

Beliau berkata ini berbeza dengan pemimpin sekarang yang tidak memaksa sesiapa pun di Tambunan memeluk Islam, sebaliknya menyumbang RM1 juta kepada penganut Kristian di sana untuk membaiki gereja.

Kenyataan itu ditulisnya sehari selepas Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Gereja St Theresa di Tambunan.

Dakwaannya itu bagaimanapun mengundang kemarahan kepada kumpulan Islam di Sabah lalu membuat laporan polis.

Polis kemudian membuka siasatan di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan susulan 20 laporan polis dibuat terhadap Tangau.

Shafie mempertahankan Tangau, berkata timbalannya itu hanya memberi contoh mengenai perbezaan pentadbiran kerajaan negeri yang lalu dan sekarang. Malah, Tangau tidak pernah bermaksud untuk menyinggung sesiapa, kata Shafie. – 27 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen