Polis panggil Madius berhubung dakwaan pengislaman beramai-ramai


Jason Santos

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Wilfred Madius Tangau mendakwa seorang pemimpin negeri mengadakan upacara pengislaman beramai-ramai penduduk Tambunan, 38 tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 24 Julai, 2019.

POLIS akan memanggil Timbalan Ketua Menteri Sabah, Wilfred Madius Tangau berhubung satu kenyataan di media sosialnya, yang dikatakan mengapi-apikan sentimen agama.

Timbalan Ketua Polis Sabah, Zaini Jass berkata perkara itu sedang disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan.

Seksyen ini merujuk kepada sebarang penerbitan dengan niat mengapi-apikan mana-mana kelas atau komuniti orang untuk melakukan sebarang kesalahan terhadap kelas atau komuniti orang lain.

Pada 22 Julai, pergerakan Pemuda dua parti dan beberapa pertubuhan sivil membuat laporan polis terhadap Tangau, menuduh beliau menghasut kebencian agama dengan hantaran di Facebook miliknya.

Madius pada Isnin menulis di platform media sosialnya yang seorang pemimpin Sabah tidak dinamakan didakwa mengadakan upacara pengislaman beramai-ramai penduduk di Tambunan, 38 tahun lalu.

Beliau berkata ramai penduduk Sabah dipaksa bertukar kepada agama Islam oleh pemimpin.

Zaini berkata polis menerima 20 laporan mengenai posting berkenaan setakat ini.

“Setakat ini kami menerima tujuh laporan dari Kota Kinabalu, satu dari Penampang, empat di Sandakan, dua dari Papar, dan satu dari Semporna, Sipitang, Kudat, Beaufort, Tambunan dan Kuala Penyu,” katanya di Kota Kinabalu hari ini. –  24 Julai, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen