Polis ambil kenyataan Indira Gandhi


Alfian Z.M. Tahir

M. Indira Gandhi mendakwa dalam laporan polisnya selain pengikut Zakir Naik, puak pemisah di selatan Thailand, serta kumpulan penyokong PAS di Kelantan dan Terengganu sebagai pihak lain yang membantu bekas suaminya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2019.

POLIS tidak akan mengulas mengenai dakwaan pengikut pendakwah Zakir Naik membantu Muhammad Riduan Abdullah menyembunyikan anak perempuannya yang status pertukaran agamanya dibatalkan oleh mahkamah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (HAM), Huzir Mohamed berkata polis sudah mengambil kenyataan bekas isteri Riduan, M. Indira Gandhi, susulan laporan polis yang dibuatnya mengenai perkara itu.

“Kami sudah mengambil kenyataannya semalam di Perak berikutan laporan polis dibuat beliau mengenai pengikut Zakir Naik termasuk ahli PAS yang membantu Riduan menyembunyikan Prasana Diksa.

“Saya tidak mahu melibatkan diri dalam perbalahan di media sosial. Saya tidak mahu mengulas mengenai apa yang mereka didakwa. Kami sedang menyiasat perkara itu dan melakukan yang terbaik bagi mengesan kanak-kanak perempuan itu,” kata Huzir kepada The Malaysian Insight.

Prasana Diksa diambil oleh Riduan ketika masih bayi sepuluh tahun lalu selepas secara unilateral  menukar agamanya dan dua lagi anak kepada Islam.

Kes ini dibawa ke mahkamah oleh Indira dan kemenangan berpihak kepadanya apabila Mahkamah Persekutuan pada Januari 2018 memutuskan penukaran agama anak secara unilateral oleh salah seorang ibu bapa adalah menyalahi undang-undang.

Indira semalam mendakwa dalam laporan polisnya bahawa selain pengikut Zakir Naik, puak pemisah di selatan Thailand, serta kumpulan penyokong PAS di Kelantan dan Terengganu sebagai pihak lain yang membantu bekas suaminya,

Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat), yang mengambil kes Indira, berkata maklumat dalam laporan polisnya berdasarkan kepada maklumat orang awam. – 26 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen